CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3906|Reply: 0

[Sabah] Pindaan Ordinan Buruh Sabah perlu diteliti sebaik mungkin - Mustapha Sakmud

[Copy link]
Post time 19-11-2023 10:04 AM | Show all posts |Read mode


Mustapha (tengah) ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil kepada pelajar Tingkatan 5 SMK Bahang, Penampang pada majlis graduasi sekolah itu di Kota Kinabalu. - Foto NSTP/Izwan Abdullah


KOTA KINABALU: Kementerian Sumber Manusia perlu meneliti dengan sebaik mungkin semua pindaan yang akan dibuat terhadap Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) sebelum membentangkannya di Parlimen.


Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata banyak pindaan perlu dilakukan dan mesti dibuat secara teliti bagi memastikan tiada perkara yang tertinggal apabila ia dibentangkan nanti.

Katanya, atas sebab itu, rang undang-undang (RUU) pindaan Ordinan Buruh berkenaan tidak dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini dan terpaksa ditunda ke persidangan awal tahun depan.

"Kepada semua kesatuan sekerja, khususnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah dan kesatuan sekerja yang lain, memang saya sudah cuba berusaha untuk memastikan pindaan Ordinan Buruh Sabah ini dapat dibaca sekurang-kurangnya bacaan pertama pada sidang Parlimen kali ini tetapi apabila meneliti dokumen yang ada, sebab pindaan ini agak besar dan tidak dipinda sejak 2005, ia tidak dapat dilaksanakan pada kali ini.

"Memang banyak perubahan yang perlu dilakukan dan pihak Peguam Negara menasihatkan supaya biar kita berhati-hati untuk meneliti pindaan ini supaya jangan ada yang terlepas, kalau dibuat secara tergesa-gesa kemungkinan ada yang tertinggal.

"Jadi, yang baiknya biar kita perhalusi sebaik mungkin supaya jangan ada pindaan penting terlepas dan untuk kita menunggu pada sidang Parlimen akan datang, iaitu Mac, hanya beberapa bulan saja lagi.

"Kalau kita boleh tunggu sejak 2005 hingga 2023 untuk kita buat pindaan begitu besar, apa salahnya kita tunggu beberapa bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 sesi 2023/2024 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Penampang, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan disuarakan MTUC Sabah berkaitan pindaan Ordinan Buruh Sabah yang tidak dibentangkan pada persidangan Parlimen kali ini.

MTUC Sabah menyatakan bahawa penangguhan itu menyebabkan pekerja di Sabah masih tidak dapat menikmati faedah dinikmati pekerja di negeri lain yang termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Mustapha berkata, beliau memahami keluhan dan keprihatinan yang disuarakan MTUC serta kesatuan sekerja lain berhubung penundaan RUU itu, namun menjelaskan bahawa ia bukan disengajakan.

"Apa yang kita mahu ialah pindaan itu nanti dapat mendepani cabaran berpuluh tahun akan datang dan mengikut piawaian antarabangsa ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

"Ini yang kita mahu pastikan, jadi saya memohon maaf kepada MTUC dan kesatuan sekerja lain sebab hasrat kita meminda ordinan ini terpaksa ditangguh ke persidangan akan datang," katanya.

Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) mula berkuatkuasa di negeri ini pada 1 Januari 1950 sebelum diwarta menjadi undang-undang persekutuan sejak 20 Mei 1965.

Ia hanya dipinda sekali pada 2005 berbanding Akta Kerja 1955 yang sudah dipinda sebanyak 12 kali.

Antara pindaan yang akan dilaksanakan dalam ordinan berkenaan ialah liputan pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan, penentuan siapa pekerja dan majikan, peruntukan berkaitan liabiliti pembayaran gaji dan gangguan seksual.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

4-5-2024 10:17 AM GMT+8 , Processed in 0.059077 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list