|
Penyerang TFC II, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid idam buru gelaran sulung Piala MFL. - Foto TFC
KUALA TERENGGANU: Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid bertekad membantu pasukannya merangkul kejuaraan pertama Piala MFL musim ini.
Pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu menegaskan, pasukannya kini berada pada landasan terbaik untuk memburu kejuaraan selepas merekod pencapaian cemerlang musim ini.
Aksi final yang bakal berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu ini, skuad kendalian Hairuddin Omar itu bakal membuat perhitungan dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT II) bagi menentukan pasukan mana yang bakal bergelar juara sulung liga divisyen dua itu.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan pada musim ini, peluang adalah seimbang dengan masing-masing menang dan kalah sekali.
"Saya begitu teruja dan bagaikan tidak sabar untuk bertarung pada Sabtu ini bagi merebut Piala MFL yang julung kali dipertandingkan pada musim ini. Harapan saya kami dapat bermain dengan baik dan lebih penting tidak mengalami sebarang kecederaan yang boleh memadam hasrat untuk merangkul trofi itu.
"Saya juga turut mengharapkan kami dapat memberikan aksi 200 peratus pada final itu nanti, ditambah prestasi terkini saya dan pasukan berada pada tahap terbaik dan bersedia untuk memenangi piala itu," kata pemain berusia 22 tahun itu yang sudah menjaringkan enam gol musim ini.
Pemain yang lebih mesra dipanggil 'Atiq' itu mahu menghadiahkan piala itu kepada kedua ibu bapanya yang menjadi pendorong utama sebagai pemain bola sepak.
"Selain ibu bapa dan keluarga yang banyak memberikan sokongan dan kata-kata semangat, saya juga mahu hadiahkan trofi itu kepada peminat yang sentiasa menyokong kami," katanya.
Berdasarkan rekod dalam saingan liga musim ini, skuad The Turtles kendalian bekas penyerang kebangsaan itu merekod 16 kemenangan, seri tiga kali dan tewas dua kali kepada JDT II 2-1 dan Kedah Darul Aman FC 1-0.
https://www.bharian.com.my/sukan ... fi-sulung-piala-mfl |
|