BAGAN DATUK: Sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara dikenal pasti berkemungkinan besar dilanda banjir menjelang Monsun Timur laut (MTL) yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bilangan itu berdasarkan data dan penilaian Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau berkata, penyelarasan sudah dilaksanakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan semua agensi penguatkuasaan terbabit.
"NADMA bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mewujudkan pusat pemindahan kekal (PPK) di sekolah yang selama ini digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) untuk dibangunkan dewan PPK.
"Kemudahan tandas dan tempat mandi akan disediakan sepenuhnya mengikut jumlah potensi mangsa banjir berdasarkan rekod Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah.
"Ini (PPK) kita lakukan di tempat-tempat yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan sering dilanda banjir.
"Berdasarkan METMalaysia dan JPS, ada sekurang-kurangnya 67 daerah di seluruh negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Deepavali di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut menyediakan jambatan Bailey sebagai persiapan aspek infrastruktur di kawasan kritikal yang dijangka dilanda banjir besar.
Katanya, NADMA menempah tujuh jambatan Bailey tambahan manakala pemasangannya dilakukan oleh jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat negeri dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di peringkat pusat.
"Kesiapsiagaan ini termasuk juga dari segi bantuan dikemukakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang diselaraskan kerana kita menjangkakan MTL bermula pertengahan November ini hingga Mac tahun depan.
"Tanda-tanda MTL sudah bermula sekarang dengan hujan yang melebihi tahap biasa," katanya.
|