CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4115|Reply: 0

[Sarawak] Buluh: PUSAKA, BDA dan Pertama Ferroalloys meterai MoU

[Copy link]
Post time 1-11-2023 09:40 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Yuki (kiri) dan Muhamad Yakup. - Gambar UKAS

BINTULU: Memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd bagi Projek Penghijauan Samalaju dan Pembekalan Bahan Mentah Lestari Melalui Penanaman Buluh.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, MoU itu selaras dengan Agenda Global Matlamat 12: Penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab dengan penjajaran menekankan produk buluh sebagai alternatif yang mesra alam dan mampan berbanding bahan tradisional plastik dan kayu.

"Ia berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 menggalakkan keterangkuman sosial, kelestarian alam sekitar dan kemakmuran ekonomi ke arah Sarawak Maju Makmur atau Sarawak Sejahtera," katanya pada majlis itu.

Beliau berkata, MoU itu sendiri merupakan pencapaian yang menekankan kepentingan mendalam merangkumi komitmen dan usaha berdedikasi untuk mengukuhkan kerjasama antara ketiga-tiga organisasi itu, mencerminkan aspirasi bersama untuk mengusahakan kawasan Samalaju dengan spesies buluh mampan, satu langkah penting ke arah mempromosikan kelestarian alam sekitar.

Selain itu katanya, ia meletakkan asas untuk bekalan bahan mentah yang mampan kepada Pertama Ferroalloys sekali gus memastikan kesinambungan operasi mereka.

Paling penting katanya, inisiatif ini menggariskan usaha bersepadu untuk memperkasakan masyarakat setempat dengan melibatkan mereka dalam aktiviti perladangan buluh, satu jalan penting untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat.

Katanya, kerjasama mereka (Pertama Ferroalloys) merangkumi penyediaan anak benih buluh berkualiti tinggi kepada pelbagai inisiatif projek, komuniti dan entiti komersial.

"PUSAKA dan BDA pula membawa kepakaran teknikal mereka yang tidak ternilai untuk menyelia keseluruhan spektrum penanaman dan proses pengurusan buluh," katanya.

Justeru katanya, MoU ini melambangkan langkah penting ke arah pembangunan mampan dan pemuliharaan alam sekitar, dengan kedua-dua organisasi bekerja secara sinergi untuk memanfaatkan kualiti buluh yang serba boleh dan mesra alam untuk manfaat kawasan itu.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA berkata, PUSAKA meletakkan sasaran bercita-cita tinggi untuk mewujudkan minimum 10,000 hektar ladang buluh komersial dan memperuntukkan 1,640 hektar untuk penanaman buluh untuk penduduk tempatan menjelang 2030.

"Matlamat berwawasan ini menggariskan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap perhutanan buluh yang mampan dan pembangunan komuniti," katanya dalam teks dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Sehingga September 2023 katanya, kemajuan besar telah dicapai dengan kerjasama industri, dengan kira-kira 2,765.5 hektar buluh ditanam.

"Dari segi penglibatan masyarakat setempat, 137 peserta telah mendaftar dengan PUSAKA, menyumbang kepada kawasan tanaman seluas 58.5 hektar.

"Pencapaian ini mewakili langkah nyata ke arah mencapai matlamat bercita-cita tinggi yang ditetapkan dalam inisiatif transformasi mempuk kemampanan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat," jelasnya.

Hadir sama Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar PUSAKA Zainal Abidin Abdullah, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari dan Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Sdn Bhd Yuki Nakamura.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

5-5-2024 06:11 AM GMT+8 , Processed in 0.049479 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list