View: 1522|Reply: 0
|
PSG bangkit bedal Milan
[Copy link]
|
|
MBAPPE meraikan jaringan pertama PSG. FOTO Reuters
Paris: Kylian Mbappe, Randal Kolo Muani dan Lee Kang-in memastikan Paris Saint-Germain kembali bangkit di Liga Juara-Juara dengan menewaskan AC Milan 3-0 awal pagi tadi.
PSG berazam menebus kekalahan 1-4 di Newcastle United tiga minggu lalu dan mempamerkan ketajaman penyudah yang sukar dibendung kelab Itali itu di Parc des Princes.
Mbappe meletakkan PSG di depan selepas setengah jam permainan untuk gol ke-10nya musim ini dan Kolo Muani menambah jaringan sejurus selepas rehat.
Lee kemudiannya masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol ketiga pada lewat permainan yang juga jaringan pertama bintang Korea Selatan itu untuk kelab.
PSG menampilkan persembahan jauh berbeza jika dibandingkan ketika menentang Newcastle dan kali ini mereka berjaya memulihkan keyakinan penyokong.
"Kami sangat bangga dengan prestasi kami," kata Kolo Muani kepada stesen penyiar Canal Plus.
"Menang perlawanan ini menyuntik kembali keyakinan semua orang dan kami perlu teruskannya."
Selepas memulakan kempen Eropah dengan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Dortmund di tempat sendiri, PSG kini di tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata sebelum kunjungan ke Milan.
Juara Eropah tujuh kali itu menduduki tangga tercorot dengan dua mata dan paling membimbangkan skuad Stefano Pioli masih belum menjaringkan gol.
"Jelas kedudukan kami tidak bagus," kata Pioli. "Saya berharap Newcastle tidak dapat menewaskan Dortmund kerana ia boleh membantu kami tetapi kami tidak boleh bergantung kepada nasib sahaja."
Perlawanan awal pagi tadi turut menyaksikan dua adik beradik yang menyarung jersi skuad Perancis Lucas Hernandez, pertahanan PSG dan Theo, kapten Milan menentang sesama sendiri.
Penjaga gol PSG Gianluigi Donnarumma dan penjaga gol Milan Mike Maignan turut berdepan kelab yang menjadi permulaan karier masing-masing.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... bangkit-bedal-milan |
|
|
|
|
|
|
| |
|