CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1639|Reply: 0

Toyota Vellfire 2.5L 2024 kini di Malaysia

[Copy link]
Post time 24-10-2023 11:10 AM | Show all posts |Read mode



Serentak dengan pelancaran Alphard 2.4T Executive Lounge di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) turut melancarkan Toyota Vellfire 2.5L 2024. MPV mewah tujuh-tempat duduk ini ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM438,000 tanpa insurans, menjadikannya RM100k lebih murah berbanding ‘kembarnya’, Alphard. Tempahannya juga telah dibuka sejak Julai lalu.

Walau pun merupakan model terbaharu generasi keempat, Vellfire 2.5L 2024 hanya menggunakan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini. Ia dikuasakan oleh unit 2.5 liter 2AR-FE empat-silinter sebaris DOHC dengan Dual VVT-i. Walau bagaimana pun, dengan filosofi kaizen Toyota, juruteranya telah meningkatkan kuasa puncaknya sebanyak 2 PS, kini mencecah 182 PS (134 kW) pada 6,000 rpm, sementara tork pula 235 Nm pada 4,100 Nm.

Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi Super i-CVT tujuh-kelajuan dengan Sport Sequential Shiftmatic. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai oleh MPV mewah ini mencecah 170 km/j.

Seperti Alphard, Vellfire 2.5L 2024 juga dibangunkan dengan platform GA-K baharu yang memberikannya ketaegaran kerangka yang lebih padu, dalam masa yang sama menjadi faktor penting dalam pengendaliannya. Berbanding dengan model terdahulu, ketegaran struktur kenderaan telah dipertingkatkan sebanyak 50%. Memantapkan lagi pengendalian MPV ini, ia diberikan sistem suspension dengan topang MacPherson dengan penstabil untuk hadapan dan double wishbone juga dengan penstabil di belakang.




Vellfire 2.5L 2024 juga memiliki pendakap prestasi hadapan (front performance brace) yang bersambung dengan sokongan radiator. Ia menambahkan lagi ketegaran badan MPV ini untuk meningkatkan lagi penghantaran kuasa, menghasilkan pecutan yang lebih lancar, pengendalian yang unggul, dan kestabilan yang sempurna.

Selain itu, demi menambahkan lagi ketegarannya, ukuran anti-getaran dipertingkatkan bagi meminimakan getaran akibat geseran permukaan jalan raya. Ini termasuklah penggunaan sesendal getah pada barisan kedua tempat duduk bagi mengurangkan getaran sebanyak 30% berbanding model terdahulu.

MPV premium mewah ini berukuran 5,005 mm panjang, 1,850 mm lebar, 1,950 mm tinggi dengan jarak roda 3,000 mm, manakala jarak terendah (ground clearance) pula 161 mm.

Juga seperti Alphard 2.4T Executive Lounge, barisan perekanya turut mengadaptasikan tema ‘Forceful x IMPACT LUXURY‘ buat Vellfire 2.5L 2024 untuk mewujudkan sentuhan kemantapan bagi MPV ini. Wajah hadapannya tampak garang dengan sistem pencahayaan nipis yang ditampilkan dengan lampu utama ‘Tri-LED’ penuh bersama lampu membelok, lampu sudut dan lampu nyalaan siang yang juga menggunakan unit LED.

    

Walau bagaimana pun, rekaan gril Vellfire 2.5L 2024 lebih ringkas, tidak begitu menyerlah seperti mana ‘kembarnya’. Sudut hujung bawah bampar yang menempatkan lampu kabus LED juga berbeza, ditampilkan dengan unit pencahayaan di bahagian bawah, panel hitam di atasnya dan dikelilingi jaluran krom separa yang bersambung kiri ke kanan hingga merentasi bawah bahagian bampar. Ciri luaran lain termasuk bilah pengelap cermin hadapan automatik dengan penderia hujan.

Jaluran krom turut merentangi bahagian sisi, dari panel atas tingkap hadapan melunjur ke tingkap belakang. Penampilan elegannya ditambahkan dengan rim aloi ringan rekaan baharu 10-jejari bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Dunlop Sport Maxx 225/55 R19.

Untuk bahagian belakangnya pula, jaluran krom dari sisi juga menghiasi spoiler. Kemasan yang sama juga ditammpilkan pada atas lampu kombinasi belakang LED dengan logo Toyota dan perkataan Vellfire di bahagian tengah sebelum plat nombor. Ciri yang membezakannya dengan Alphard 2.4T Executive Lounge, Vellfire 2.5L 2024 ditampilkan dengan jaluran krom pada bahagian lampu kabus belakang yang merentangi kiri ke kanan pada bahagian bawah bampar, sinonim dengan wajah hadapannya.




Memasuki bahagian kabinnya, bentangan kokpit memang mirip dengan Alphard 2.4T Executive Lounge, yang sama membawakan konsep dalaman ala jet peribadi. Kemasan kokpit menampilkan gabungan kemasan kulit dan ira kayuan menyerlahkan imej mewah dan elegan. Vellfire 2.5L 2024 turut dua bumbung kaca panorama, roda stereng tilt & telescopic balutan kulit dengan kemasan kayuan dengan fungsi pemanas dan suis elektrostatik serta Paparan Pelbagai Informasi (MID) skrin sesentuh 14-inci dengan fungsi paparan audio, dan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, ia diberikan sistem bunyi JBL dengan 15-pembesar suara , pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar, sistem smart entry & start, lampu pencahayaan bumbung 64-warna dan Digital Inner Mirror untuk cermin pandang belakang, tirai suria larasan kuasa untuk tingkap sisi dan bumbung panoramik, Panoramic View Mirror (PVM), perakam video digital depan dan belakang, pintu gelangsar larasan kuasa, kawalan suhu automatik untuk depan dan belakang serta tujuh unit USB Type-C (dua di hadapan, satu pada bahagian konsol, dua untuk barisan kedua dan dua untuk barisan ketiga).

Ciri kelengkapan eksklusif yang diperoleh Alphard 2.4T Executive Lounge seperti paparan head-up (HUD) baharu TFT warna penuh bersaiz 12.3-inci, auto stop & start system, pedal penukar gear di belakang stereng, kawalan suhu dengan fungsi NanoeTM X, dan fungsi ‘senyap’ untuk pintu gelangsar tidak diberikan untuk Vellfire 2.5L 2024.

    

Walau pun ciri kelengkapan dalamannya tidaklah begitu eksklusif seperti kembarnya, namun keselesaan optimum cukup dititik beratkan dalam rekaan bahagian kabinnya. Tempat duduk balutan kulit sintetik diberikan untuk Vellfire 2.5L 2024, dengan tempat duduk pemandu, penumpang hadapan dan barisan kedua turut dilengkapi dengan sistem pemanasan dan pengudaraan.

Tempat duduk pemandu diberikan lapan-larasan kuasa dengan fungsi memori, manakala empat-larasan kuasa bagi tempat duduk penumpang hadapan. Akses laluan di bahagian tengah untuk barisan kedua dengan Executive Power Seat dengan VIP Large Type dan Ottoman memudahkan penumpang untuk ke barisan ketiga, tidak seperti Alphard. Ia turut diberikan meja kecil pada bahagian sisinya. Untuk barisan ketiga pula, tempat duduknya boleh dipisahkan dengan nisbah 50:50 bagi menambahkan ruang penyimpanan barangan di belakang.

Buat pertama kalinya, Toyota turut memperkenalkan rocker switch pada pemegang pintu untuk lebih memudahkan operasi mengaktifkan bukaan pintu, hanya tolak ke kiri atau kanan suis terbabit untuk membuka atau menutup pintu. Pintu tailgate juga boleh dibuka secara kawalan remote, selain bukaan secara manual dan suisnya terletak pada sisi lampu belakang, bagi mengelakkan individu yang membuka pintu tersebut berdiri betul-betul di hadapan tailgate dan perlu beralih ke tepi atau berganjak lebih belakang apabila tailgate mula dibuka.

  

Untuk aspek keselamatan, Vellfire 2.5L 2024 turut diberikan Toyota Safety Sense (TSS) kini dengan versi ketiga dengan kelengkapan sistem Bantuan Pemandu Termaju yang merangkumi sistem Pra-pelanggaran (PCS), Kepekaan Ketibaan Lorong (LDA), Kawalan Kelajuan Radar Dinamik (DRCC) dengan Bantuan Mengesan Lorong (CTA), Bantuan Isyarat Jalan (RSA) dan sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS).

Melengkapkan lagi ciri keselamatan ialah ABS, sokongan brek, penderia parkir hadapan dan belakang, EBD, pemantauan titik buta (BSM) dengan trafik lintasan belakang (RCTA), kawalan bantuan mendaki bukit (HAC), enam unit beg udara, Isofix dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Vellfire 2.5L 2024 hanya ditawarkan dengan tiga pilihan rona luaran Platinum White Pearl, Precious Metal, dan Hitam, dengan pilihan warna dalaman Beige atau Hitam.

Sekali lagi, Vellfire 2.5L 2024 ditawarkan pada harga bermula RM438,000 tanpa insurans, kurang RM100k berbanding Alphard 2.4T Executive Lounge. Walau bagaimana pun, ia turut diberikan waranti pengilang lima-tahun dan tanpa had perbatuan.
https://paultan.org/2023/10/23/t ... nding-alphard-2-4t/
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

1-5-2024 08:10 AM GMT+8 , Processed in 0.059413 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list