CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3721|Reply: 0

[Sabah] Rakyat layak terima perkhidmatan awam terbaik

[Copy link]
Post time 17-10-2023 09:50 PM | Show all posts |Read mode


UCAPAN: Safar ketika menyampaikan ucapan sempena majlis penutupan KITA 2023.

KOTA KINABALU: Rakyat layak menerima perkhidmatan awam terbaik hasil daripada tadbir urus yang telus, adil serta menyeluruh.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong berkata, dalam memenuhi cita rasa dan keperluan rakyat, ia menuntut pelaksanaan suatu sistem penyampaian berprinsipkan empat nilai utama iaitu empati, responsif, inklusif, dan tepat.

Katanya, nilai utama ini perlu dihayati, difahami dan diamalkan dalam penyampaian perkhidmatan awam berteraskan insaniah.

"Dengan meletakkan diri kita sebagai rakyat yang mengharapkan suatu perkhidmatan terbaik, kita sedar keperluan untuk memberikan perkhidmatan dengan jiwa yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan.

"Justeru, tatakelola dalam perkhidmatan awam harus terus diperkasakan dalam memastikan sistem penyampaian berjiwa rakyat dapat diterapkan di segenap lapisan perkhidmatan awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 di sini hari ini.

Safar berkata, Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional perlu dilihat sebagai satu agenda kerajaan dalam mengukuhkan lagi sistem penyampaian berkesan.

Menurutnya, Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti yang diperkenalkan kerajaan adalah panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Sehubungan itu katanya, penambahbaikan pelbagai aspek perundangan dan penguatkuasaan akan dapat mengukuhkan jati diri dan akhlak khususnya kepada penjawat awam dan amnya kepada seluruh warganegara.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan KITA 2023 berjaya mewujudkan satu jaringan kerja yang baik di antara pelbagai agensi seluruh Malaysia.

"Saya berharap jaringan yang baik ini akan berterusan dan segala pengalaman, ilmu pengetahuan, inspirasi, serta budaya kerja berprestasi tinggi yang diperoleh sepanjang program KITA ini dapat memantapkan lagi pengurusan governans, integriti dan antirasuah (GIA) dalam perkhidmatan awam khususnya di Sabah.

"Diharap kita dapat bersama-sama berusaha memperbaharui dan menambah baik perkhidmatan dan tadbir urus sedia ada agar rakyat yakin terhadap keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan dasar yang dimandatkan.

"Peranan kita amatlah besar dalam menggalas tanggungjawab di semua peringkat lapisan ekosistem pentadbiran. Kita perlu memastikan dasar dan agenda yang diperkenalkan oleh kerajaan dilaksanakan secara adil, telus, pantas, dan profesional agar masyarakat dapat menerima manfaat yang disediakan," jelasnya.

Beliau turut menyeru kepada semua delegasi yang hadir konvensyen berkenaan agar sentiasa cakna dan fokus kepada matlamat utama dalam menginsankan perkhidmatan awam.

Katanya, penjawat awam perlu bergerak seiring dalam menerapkan nilai individu dan organisasi untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan serta dapat memenuhi keperluan dan aspirasi kerajaan membina Malaysia Madani.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

9-5-2024 02:34 AM GMT+8 , Processed in 0.049279 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list