|
Kylian Mbappe memastikan Perancis layak ke Euro 2024 dengan meledak dua gol ketika kemenangan 2-1 ke atas Belanda di Johan Cruyff Arena, Amsterdam. - Foto REUTERS
AMSTERDAM: Kylian Mbappe memastikan Perancis layak ke Euro 2024 dengan meledak dua gol ketika kemenangan 2-1 ke atas Belanda di Amsterdam.
Tiga mata dan rekod tanpa kalah dalam aksi kelayakan memastikan anak buah Didier Deschamps mara ke Euro 2024 ketika saingan masih berbaki dua perlawanan.
Sementara itu juara edisi 1998, Belanda terpaksa bersaing dengan Greece untuk merebut tempat kedua dalam Kumpulan B.
Tahap kecergasan Mbappe pada awalnya diragui selepas pemain Paris Saint-Germain itu baru pulih daripada kecederaan buku lali.
Bagaimanapun Mbappe yang mempunyai rekod cemerlang ke atas The Oranje, hanya memerlukan tujuh minit untuk meletakkan Les Bleus di depan hasil hantaran Jonathan Claus.
Perancis membelasah Belanda 4-0 pada aksi pertama Mac lalu, ketika lawannya itu kehilangan beberapa pemain tonggak akibat virus yang menular dalam pasukan.
Belanda sekali lagi turun tanpa pemain-pemain utamanya apabila tidak kurang 12 pemain mereka cedera atau tidak sihat.
Ketiadaan penyerang Atletico Madrid, Memphis Depay dan penyerang Liverpool, Cody Gakpo membuatkan pengendali Belanda, Ronald Koeman buntu dalam mengumpul skuad untuk aksi antarabangsa kali ini.
Koeman turut kehilangan perancang Barcelona, Frenkie de Jong dan bek tengah Bayern Munich, Matthijs de Ligt.
Belanda mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan di pertengahan babak pertama aksi di Johan Cruyff Arena, tetapi percubaan Joey Veerman melepasi palang.
Sebelum rehat, Quilindschy Hartman hampir menewaskan penjaga gol Perancis, Mike Maignan tetapi gawang pelawat masih terselamat.
Mbappe menggandakan kedudukan lapan minit selepas permainan bersambung dengan jaringan lencong yang menewaskan Bart Verbruggen di gawang Belanda.
Ia adalah jaringan antarabangsa ke-42 penyerang PSG itu, mengatasi legenda Perancis, Michel Platini dan meletakkannya di tangga keempat senarai penjaring terbanyak negara itu.
Tuan rumah menyangkakan mereka berjaya merapatkan jurang, tetapi jaringan pemain gantian, Donyell Malen dibatalkan kerana ofsaid.
The Oranje akhirnya menemui sasaran pada minit ke-83 apabila Hartman berjaya menewaskan Maignan.
"Apabila dia (Mbappe) seperti itu, Perancis mempunyai peluang lebih cerah untuk menang," kata Deschamps.
Perancis akan melayan kunjungan Scotland di Lille pada Selasa ini sebelum menamatkan kempen kelayakan bulan depan menentang Gibraltar di laman sendiri dan bertandang ke laman Greece.
Belanda akan bertandang ke Greece pada Isnin dan perlu menang untuk layak. Mereka akan mengakhiri kempen dengan melayan kunjungan Ireland sebelum bertandang ke Gibraltar. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... od-jaringan-platini |
|