Kepala Batas: Hampir 50 tahun menunggang motosikal tanpa lesen memandu kini seorang lelaki mahu mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan diri serta ahli keluarganya.
Hamzah Idris, 62, dari Changkat, Nibong Tebal, berkata selama ini dia hanya menunggang motosikal di kawasan kampung dan tidak pernah tidak mengambil berat soal lesen memandu.
Menurutnya, pada masa sama pendapatan bekerja kampung yang tidak seberapa juga menyukarkannya mengambil lesen memandu berikutan tiada kemampuan kewangan.
"Jika hendak ke bandar, saya menggunakan bas dan hanya menunggang motosikal dalam kawasan kampung sahaja.
"Apabila berfikir sampai bila saya nak lalui keadaan seperti ini, tambahan pula saya kerap membawa cucu, lesen memandu itu sangat penting," katanya.
Hamzah berkata demikian ketika ditemui selepas memperoleh lesen memandu menerusi Program Lesen Memandu B2 (MyLesen) JPJ Peringkat Pulau Pinang, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa.
MyLesen adalah program bantuan lesen percuma oleh kerajaan khusus kepada golongan B40 seluruh negara.