|
KOVACIC bernasib baik tidak menerima kad kuning kedua ketika kekasaran dilakukannya terhadap Rice. - AFP
LONDON – Ketua Pentadbir Pengadil Profesional Liga Perdana Inggeris (PGMOL), Howard Webb mengakui bahawa pengadil melakukan satu lagi kesilapan ketika melepaskan pemain Manchester City, Meteo Kovacic yang sepatutnya dilayangkan kad merah.
Sepanjang dua minggu aksi berturut-turut melibatkan perlawanan berprofil tinggi menyaksikan beberapa keputusan pengadil yang mencetuskan kontroversi.
Pengadil perlawanan melibatkan Arsenal dan City, Michael Oliver didakwa gagal membuat keputusan tepat apabila melepaskan Kovacic yang melakukan kekasaran terhadap Declan Rice ketika pemain itu sudah mengutip kad kuning sebelum itu.
Seminggu sebelum itu, pegawai perlawanan juga gagal membuat keputusan yang sepatutnya apabila membatalkan jaringan Luis Diaz ketika menentang Tottenham Hotspur biarpun dia berada pada kedudukan tidak ofsaid ketika menjaringkan gol tersebut.
Merujuk isu Kovacic, Webb mengakui pemain itu sepatutnya menerima kad merah ketika mengasari Martin Odegaard, tetapi diberikan kad kuning sebelum dia terlepas kad kuning kedua ekoran insiden bersama Rice.
“Beberapa keputusan silap ini merosakkan reputasi PGMOL. Kekasaran pertama itu jelas perlu diberikan kad merah, ia tidak memerlukan Oliver merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR), tetapi beliau tidak melakukannya.
“Pemain tersebut (Kovacic) sangat bernasib baik untuk kekal beraksi. Oliver tidak mahu diselubungi impak negatif daripada perlawanan itu dengan membuat keputusan tersebut.
“Saya fikir dia akan sedar bahawa kad kuning kedua sepatutnya dilayangkan yang akan menyaksikan Kovacic perlu meninggalkan permainan,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/10 ... a-terima-kad-merah/ |
|