|
DARI kiri, Zamaludin, Mohamed Noor Saadan, Harikrishnaveni, Mohd Abidin dan Samad ketikahadir di JHEV ATM di ibu kota. FOTO AHMAD UKASYAH
Kuala Lumpur: Penderitaan dialami akibat sakit lutut sehingga tidak boleh berjalan, selain darah beku di kepala yang mengakibatkan hilang ingatan menyebabkan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini tiada pendapatan.
Zamaludin Sulong, 71, berhenti kerja sebagai pegawal keselamatan bank dan tidak dapat menyara keluarganya.
Namun warga emas terbabit dapat menarik nafas lega apabila menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) Veteran ATM berjumlah RM300 sebulan disalurkan kerajaan sejak tiga tahun lalu.
Menurutnya, dia pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dalam Pasukan Risik Gempur, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selama 18 tahun sebelum berhenti pada 1990.
"Akibat tempoh perkhidmatan kurang 21 tahun, maka saya tidak menerima pencen seperti rakan lain. Jadi saya perlu bekerja sebagai pengawal keselamatan di beberapa syarikat sehingga berusia 60 tahun.
"Pada 2019, saya alami masalah lutut dan tidak dapat bergerak serta perlu dibedah. Selepas itu, saya disahkan pula ada darah beku di kepala dan sekali lagi dibedah. Sejak itu, saya tidak bekerja dan melalui fasa pemulihan selama dua tahun," katanya ketika ditemui Harian Metro.
Bapa tujuh anak itu berkata, dia bersyukur sepanjang derita sakit anaknya banyak membantu selain menerima bantuan termasuk kos pembedahan daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) serta kerajaan.
"Tambah pula adanya BSH, ia membantu meringankan beban dan kos sara hidup saya sekeluarga. Saya harap bantuan dapat diteruskan kerana banyak membantu golongan tidak berpencen seperti saya," katanya yang turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan.
Seorang lagi veteran ATM, Mohamed Noor Saadan, 69, mengakui pernah mengalami tekanan hidup kerana masalah kewangan disebabkan pendapatan tidak menentu sebagai pemandu teksi.
Dia yang berkhidmat sebagai tentera selama 10 tahun sebelum berhenti pada 1985 tidak menerima pencen dan melakukan pelbagai kerja untuk menampung kehidupan keluarga.
"Ini kali pertama saya terima bantuan menerusi BSH bermula bulan ini. Saya bersyukur dan berterima kasih," katanya.
Bagi bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), R Harikrishnaveni, 71, gembira apabila kerajaan mengumumkan BSH yang dapat menampung keperluan hariannya.
Ibu kepada empat anak berharap bantuan itu diteruskan dan jumlah BSH dinaikkan berbanding RM300 ketika ini berikutan kos sara hidup meningkat.
Perkara sama turut diakui veteran ATM, Mohd Abidin Arshad, 73, dan Samad Ali, 74, yang baru menerima manfaat BSH bulan ini tetapi bersyukur dan berterima kasih kepada JHEV serta kerajaan.
Kerajaan bersetuju memperluaskan BSH RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun berbanding ia hanya dinikmati pada usia 80 tahun sebelum ini.
Insentif itu berkuat kuasa September lalu dan memberi faedah kepada 41,970 penerima.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... esara-tak-berpencen |
|