KEPALA BATAS: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak hari ini mengadakan lawatan ke tapak karnival Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines, Bertam di sini.
Kehadiran Ahmad Fuzi pada jam 5 petang disambut Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.
Lawatan ke MSAM 2023, anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berlangsung kira-kira sejam, dimulakan dengan sesi pengenalan dan penerangan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Ahmad Fuzi kemudian singgah ke reruai Sime Darby Plantation dan diberi taklimat mengenai jentera dan teknologi canggih terkini yang digunakan untuk mengawal serangga perosak di ladang sawit.
Selain lawatan ke ruang pameran, Ahmad Fuzi turut beramah mesra dengan kakitangan daripada 50 pempamer yang bertugas sepanjang karnival berlangsung.
Sempena lawatan itu, Ahmad Fuzi turut merasmikan program Jom Stem: Bicara Geo Bersama Persatuan Geologi Malaysia di reruai SP Setia Berhad, pelancaran Pelan Takaful Perjalanan Ikhlas serta penyerahan zakat oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).
Beliau juga mengambil peluang mencuba kereta elektrik jenis bZ4X keluaran Toyota dan Hyundai Ioniq 6.
Bertemakan 'Bijak Melabur, Santai Berhibur', MSAM 2023 berlangsung selama sembilan hari bermula 30 September hingga 8 Oktober ini.
Buat pertama kali juga karnival berkenaan dianjurkan secara hibrid selaras aspirasi PNB untuk meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pelbagai aktiviti permainan menarik dan interaktif turut disediakan dengan penerapan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di setiap gerai pameran, menambahkan lagi tarikan pada MSAM kali ini. – BERNAMA