|
Pemain Inter Milan meraikan jaringan Federico Dimarco (kanan) ketika menentang Empoli pada aksi Serie A Itali di Stadio Carlo Castellani, Empoli awal pagi tadi. – Foto REUTERS
ROME: Federico Dimarco meledak gol tunggal ketika Inter Milan meneruskan permulaan sempurna musim Serie A dengan kemenangan 1-0 ke atas pasukan bawahan Empoli awal pagi tadi.
Pasukan kendalian Simone Inzaghi meningkatkan serangan selepas berhempas-pulas pada babak pertama untuk menundukkan kelab yang memecat jurulatih mereka minggu lalu apabila dibelasah Roma dengan tujuh gol.
Dimarco memastikan kemenangan menerusi rembatan separa voli mengagumkan ke penjuru gol enam minit selepas rehat.
"Ia satu kemenangan penting, ia tidak mudah, tetapi ia membolehkan kami melaungkan amaran kepada pasukan lain," kata Dimarco.
"Kami terpaksa menunggu babak kedua untuk mendahului, namun kami berjaya menangani perlawanan ini dengan baik, dengan pendekatan yang tepat," ujar Inzaghi.
Penyerang Napoli, Victor Osimhen gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi menentang Bologna di Stadio Renato Dall'Ara, Bologna, awal pagi tadi. – Foto REUTERS
"Ia baru pusingan kelima, kami sedar segala-galanya boleh berubah dengan pantas dalam bola sepak, tetapi saya berpuas hati dengan pemain saya, dengan sikap mental mereka."
Inter, juara tahun 2021, satu-satunya pasukan yang belum keciciran mata setakat ini dan berkelebihan tiga mata berbanding pasukan tangga kedua AC Milan yang menundukkan Verona 1-0 kelmarin.
Juventus sudah ketinggalan lima mata di tangga keempat selepas kalah 4-2 di tangan pasukan tangga ke-11 Sassuolo.
Sementara itu, juara bertahan Napoli dipaksa seri tanpa jaringan di Bologna.
Pasukan kendalian Rudi Garcia gagal mengambil kesempatan sekalipun mendominasi, percubaan Victor Osimhen terkena palang sebelum penjaring gol terbanyak Serie A musim lalu mensia-siakan peluang apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72. – AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... ter-di-puncak-serie |
|