Tangkap layar menunjukkan Taib bersalaman dengan Abang Johari. - Gambar Instagram RaghadTaib
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan kunjungan ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah kembali ke negeri ini dari luar negara, baru-baru ini.
Gambar kedua-dua pemimpin itu dimuat naik oleh isteri Taib Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib di Instagram Stories pada Rabu.
Gambar tersebut, bertarikh 17 Sept yang dipercayai dirakam di kediaman Taib di Demak Jaya, menunjukkan Taib dan Abang Johari bersalam sambil senyum.
Taib, 87, yang sebelum ini berada di Istanbul, Türkiye bagi menjalani proses pemulihan selepas pembedahan, kembali ke Kuching pada 16 September.
Pada 3 Ogos, Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Junih Salleh Ahmad dalam satu kenyataan, memberitahu keadaan Taib bertambah baik dan akan pulang sebaik mendapat kelulusan doktor.
Tidak lama kemudian, Ragad memuat naik satu video di media sosial yang menunjukkan Taib berada di sebuah kafe tepi pantai di luar negara.
Pada 21 Julai, Taib dalam perutusan Hari Sarawak memaklumkan beliau berada dalam keadaan baik, dan akan kembali ke Sarawak apabila mendapat kebenaran doktor.
Semasa ketiadaannya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, telah memangku tugas dari 16 Ogos hingga 17 September.
|