CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2785|Reply: 0

[Perak] MPM buat semburan berkala

[Copy link]
Post time 19-9-2023 10:25 AM | Show all posts |Read mode

Rata-rata rumah penduduk Bandar Baharu Setia Awan Perdana, di sini terpaksa menutup pintu dan tingkap serta menampal pelekat lalat di pintu masuk rumah sebagai ikhtiar mengurangkan jumlah serangga kotor itu. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Manjung: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengambil tindakan semburan lalat secara berkala bagi mengatasi masalah serangan lalat termasuk di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP).

Yang Dipertua MPM Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, semburan dilakukan setiap bulan dan boleh dikatakan setiap bulan ada aduan di BBSAP.

"Jadi, dalam sebulan antara dua atau tiga kali kita akan buat semburan.

"MPM mengambil tindakan sewajarnya dalam usaha mengatasi masalah gangguan lalat di kawasan yang dilaporkan kepada pihaknya secara berkala.

"Pihak berkenaan terutama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebagai entiti utama berkaitan perkara itu perlu bersama-sama melaksanakan tindakan bagi menguatkuasakan arahan dan pemantauan lebih tegas di lapangan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk BBSAP, di sini, yang hidup dalam keadaan tidak selesa dan tertekan susulan serangan lalat.

Menurut penduduk, mereka terpaksa berdepan isu itu setiap hari dan keadaan paling teruk ketika musim ayam keluar reban.

Syamsul Hazeman berkata, kerajaan negeri juga sudah meluluskan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 dengan memperkemaskan kehendak pematuhan standard amalan perladangan unggas oleh pemegang lesen seperti menaikkan jumlah penalti, baru-baru ini.

"Selain pembatalan lesen kepada penternak yang gagal mematuhi undang-undang serta boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM50,000," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengusaha ternakan di Manjung perlu mempunyai lesen premis ternakan mengikut Undang-Undang Kecil Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau MPM 2012.

Katanya, setakat ini seramai 90 pengusaha dikenakan kaedah Lesen Sementara Bertempoh yang mana mereka perlu menyelesaikan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan pelan bangunan dalam tempoh setahun dari tarikh kelulusan.

"Syarat pelesenan menjelaskan kaedah dan tanggungjawab pengusaha untuk mengurus pencemaran lalat yang mana tahap infestasi lalat dipantau sepanjang masa dan dipastikan berada pada paras minimum (indeks lalat di bawah paras 10) dan mematuhi Enakmen Perladangan Unggas Negeri.

"Bagi ladang ternakan sudah ada Lesen Veterinar dan Lesen Sementara Bertempoh-MPM yang ada tamat tempoh iaitu mesti di tukar ke ladang tertutup atau berpindah daripada ladang ayam berkenaan," katanya.

Syamsul Hazeman berkata, kaedah reban tertutup menjadi syarat utama dalam kelulusan permohonan Kebenaran Merancang (KM) dan pelan bangunan daripada MPM.

Perlu langkah pencegahan lebih jitu elak masalah makin serius

Kecil-kecil bawa petaka, itu boleh digambarkan untuk 'tugas' lalat yang sinonim dengan pembawaan patogen dan berisiko menyebabkan penyakit serius serta mengancam nyawa manusia dan haiwan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Sharifah Sakinah Syed Alwi berkata, lalat boleh diklasifikasikan kepada tujuh jenis dan lalat yang biasa dijumpai sama ada di kawasan bandar atau kampung adalah lalat rumah atau lebih dikenali sebagai 'Musca domestica'.

Katanya, lalat jenis itu membiak di kawasan beriklim tropika dan sederhana serta dikelilingi manusia.

Menurutnya, ia juga banyak dijumpai di pasar, rumah penyembelihan, restoran atau kedai makan, sampah-sarap, ladang ternakan dan sisa najis.

"Lalat sangat sinonim dengan pembawaan patogen yang boleh menyebabkan penyakit serius dan mengancam nyawa manusia serta haiwan. Analisa saintifik menunjukkan bahawa lalat rumah adalah vektor kepada pelbagai jenis mikroorganisma.

"Lebih daripada 100 patogen termasuk bakteria, virus, kulat dan parasit adalah bawaan lalat dengan cara melekatkan patogen ini pada mulut, permukaan badan, kaki, sayap dan sebagainya.

"Antara contoh bakteria yang dipindahkan daripada lalat ialah 'Salmonella spp', 'Shigella', 'Campylobacter', 'Escherichia', 'Enterococcus', 'Chlamydia' dan beberapa lagi. Manakala contoh kulat adalah seperti 'Penicillium' dan 'Cladosporum'.

"Bagi parasit pula, spesies seperti 'Ascaris' dan 'Entamoeba' biasanya menyebabkan penyakit enterik terhadap manusia," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, lalat adalah penyebab kepada pelbagai jenis penyakit dan antara penyakit bawaan lalat adalah jangkitan intestinal seperti cirit-birit, tifoid, keracunan makanan, disentri dan jangkitan cacing.

Katanya, lalat juga boleh menyebabkan jangkitan mata seperti trakoma dan konjunktivitis akibat pemindahan bakteria 'Chlamydia trachomatis' daripada pesakit kepada individu yang dalam keadaan sihat.

"Kebiasaannya jika penyakit bawaan lalat ini adalah bakteria, maka ia boleh diubati dengan antibiotik.

"Namun masalah menjadi kian meruncing kerana mikroorganisma kini menjadi semakin rintang terhadap antibiotik yang biasa digunakan.

"Justeru, perlu ada langkah pencegahan yang lebih jitu bagi mengelakkan masalah yang lebih serius terutamanya kepada komuniti di kawasan yang terdedah kepada gangguan lalat.

"Ini kerana kawasan berkenaan biasanya berhampiran ladang ternakan dan sisa najis, sekali gus menjadikannya kawasan yang kurang bersih," katanya.

Dr Sharifah Sakinah berkata, justeru masyarakat perlu mengambil berat penjagaan dan penyelenggaraan kebersihan rumah dan kawasan sekitar bagi memastikan kesihatan sentiasa terjaga sekali gus mencegah sebarang kemungkinan.

Menurutnya, mereka yang tinggal di kawasan berdekatan ladang ternakan perlu melakukan sanitasi kawasan rumah dengan lebih kerap.

"Ini termasuk menghapuskan tapak pembiakan lalat dan larvanya dengan cara menutup dan membersihkan tong sampah serta memastikan sampah serta sisa najis dibuang dengan sempurna.

"Penggunaan perangkap lalat yang menggunakan umpan semula jadi atau perangkap cahaya ultraungu (ultraviolet) dan penggunaan semburan racun serangga di luar dan dalam rumah dapat mengurangkan dan menghindarkan lalat.

"Terdapat juga tumbuhan yang boleh membantu menghindar lalat dan boleh ditanam di sekeliling rumah seperti pokok selasih, lavender dan daun salam (bay leaves)," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... at-semburan-berkala
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-5-2024 02:11 AM GMT+8 , Processed in 0.055677 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list