CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1913|Reply: 0

[Sabah] Sambutan Sabah luar biasa, kembara diraja melakar sejarah

[Copy link]
Post time 12-9-2023 04:28 PM | Show all posts |Read mode


Jam 2 petang, langit mendung. Matahari tertutup. Gumpalan awan gelap bergerak laju. Tiupan angin semakin deras. Sesekali terdengar deruan guruh. Tanda akan hujan sekejap lagi.

Ramai orang masih berdiri di pinggiran jalan. Tidak berganjak sedikit pun. Tua dan muda wajah berseri-seri. Tetap semangat walaupun lama  berdiri.

Nyata benar. Hujan segera mencurah lebat. Ramai orang basah kuyup. Ada sebahagian berkongi payung. Ada juga yang bertopi dan berjaket hujan.

Begitu suasana di laluan Beaufort-Sipitang pada hari terakhir Kembara Kenali Borneo, yang menutup tirai di Sabah pada Khamis lepas.

Hujan lebat tidak menghalang rakyat berbilang latarbelakang menunggu  di berbagai lokasi laluan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama kerabat diraja.

Menerusi perkongsian video netizen, orang ramai tetap semangat melambai-lambai dalam derai hujan lebat kepada pasangan diraja itu.

Tetap terukir senyuman manis di sebalik samar pandangan mata.  Tetap kental jiwa mereka. Tangan kanan mengibar bendera. Tangan kiri memegang payung.

Di sebalik sejuk titisan air hujan, semangat orang Sabah tetap panas membara menyambut kembara diraja menjelajah bumi Sabah.

Demikian sebahagian senario sambutan hebat orang Sabah kepada konvoi jelajah `Kembara Kenali Borneo' selama lima hari di Negeri Bawah Bayu ini.

Bermula di Tawau berakhir di Sipitang, konvoi diraja mendapat sambutan sungguh luar biasa yang melakar banyak sejarah tersendiri.

Sepanjang laluan konvoi, rakyat Sabah tampil bermacam gaya -- baik dari segi ungkapan kata-kata, penampilan mahupun cara sambutan -- yang nyata menjadikan Seri Paduka berdua rasa gembira dan teruja.


TERIMA KASIH: Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Yang di-Pertuan Agong pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri di SICC. Turut kelihatan Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haj Juhar Haji Mahiruddin.

Pada Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu meraikan Kembara Kenali Borneo itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut berkongsi rasa gembira negeri Sabah dan keterujaan rakyat jelata.

Menurut Ketua Menteri, program jelajah itu amat bermakna kepada rakyat kerana mereka berpeluang untuk menatap dari dekat wajah Yang di-Pertuan Agong dan keluarga.

"Ternyata keprihatinan, kemesraan dan kemuliaan hati Tuanku berdua akan kekal terpahat di hati rakyat untuk selamanya,” katanya.

Menurutnya, rakyat amat mengagumi kesediaan dan kesanggupan Seri Paduka Baginda berdua menelusuri dan memandu sendiri sepanjang lebuh raya Pan Borneo dari Tawau hingga ke Sipitang.

Dalam ucapannya itu, Hajiji turut memaklumkan Seri Paduka Baginda bahawa perdagangan negeri Sabah telah mencatat rekod tertinggi dalam sejarah iaitu melonjak naik RM118.1 bilion pada tahun 2022, berbanding hanya RM87.2 billion pada tahun sebelumnya.

Selain itu, dalam tempoh tiga tahun lalu, Kerajaan Negeri telah berupaya membawa masuk lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan ke Sabah di samping rekod tertinggi dalam kutipan hasil negeri yang mencecah sehingga RM7 bilion.

“Dengan prestasi ekonomi baik berserta hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ)  yang diperkenalkan, telah berjaya merealisasikan usaha murni kerajaan negeri dalam membangunkan semula ekonomi Sabah,” katanya.

Mewakili rakyat dan negeri Sabah, Hajiji berikrar untuk terus menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda dan kedaulatan Institusi Diraja yang menjadi payung dan lambang perpaduan serta keharmonian rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Hakikatnya, Kembara Kenali Borneo membuka lembaran baharu dan melakar sejarah tersendiri kerana ada rahmat di sebalik kunjungan Seri Paduka ke bumi Sabah yang subur membugar ini.

Cara dan sambutan orang Sabah mungkin luar biasa, tapi hati nurani mereka sebenarnya bukan `biasa-biasa'.

Itulah bukti keterujaan mereka bertemu ketua negara yang tinggi darjatnya dan sungguh mulia hatinya.

Daulat Tuanku!


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

8-5-2024 07:25 PM GMT+8 , Processed in 0.065451 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list