|
Keadaan kemalangan selepas sebuah treler membawa muatan kayu terbalik yang menyebabkan beberapa individu tersepit dan seorang wanita dilaporkan maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Bukit Minyak-Sungai Bakap, Nibong Tebal. Foto ihsan JBPM
NIBONG TEBAL: Polis giat mengumpul maklumat mangsa yang terbabit dalam nahas membabitkan enam kenderaan termasuk dua treler di Kilometer (KM) 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Ng Ah Thiam, berkata maklumat lengkap akan dimaklumkan kelak memandangkan kemalangan itu membabitkan jumlah mangsa agak ramai dan memerlukan sedikit masa.
"Pegawai penyiasat kini turun mengumpul maklumat, namun masa agak lama diperlukan bagi melengkapkan siasatan ini kerana mangsa yang terbabit agak ramai dan mereka (mangsa cedera) dihantar ke tiga hospital berlainan untuk mendapatkan rawatan.
"Bagi mangsa yang maut, proses bedah siasat masih dijalankan dan kita belum terima keseluruhan identiti mangsa yang terbabit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kemalangan sekitar jam 4.30 pagi tadi, seorang wanita warga tempatan dilaporkan maut di tempat kejadian, manakala seorang parah, enam cedera ringan dan 13 individu lagi selamat.
Mengikut laporan dikemaskini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, mangsa yang maut berusia lingkungan 60-an, manakala pemandu treler yang membawa muatan kayu berusia 30-an parah dan mangsa yang cedera ringan pula membabitkan individu berusia antara 20-an hingga 50-an.
Ah Thiam berkata, melalui siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ekoran pergeselan dua treler yang satu daripadanya membawa muatan kayu.
"Ketika itu, jalan agak licin akibat hujan dan berkemungkinan menyebabkan berlaku pergeselan antara dua kenderaan berat terbabit sebelum treler membawa muatan kayu terbalik dan menghempap sebuah kereta serta tiga kenderaan lain yang tidak sempat mengelak.
"Treler yang membawa muatan kayu itu dikatakan dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke utara. Kejadian menyebabkan treler itu melintang dan menghalang jalan," katanya.
Beliau berkata, lokasi nahas sudah dibersihkan pihak petugas berkaitan dan aliran trafik kembali lancar.
https://www.bharian.com.my/berit ... a-nahas-6-kenderaan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|