CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1941|Reply: 0

Memahami hepatitis pada kanak-kanak

[Copy link]
Post time 4-9-2023 10:17 PM | Show all posts |Read mode
Memahami hepatitis pada kanak-kanak



Kesemua virus hepatitis boleh menyebabkan hepatitis tetapi cara transmisi adalah berbeza, sekali gus membezakan kaedah pencegahannya. - Gambar hiasan



HEPATITIS merupakan keradangan hati yang boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk virus hepatitis, namun faktor jangkitan lain, pengambilan ubat-ubatan, toksin, penyakit hati berlemak atau penyakit autoimun juga boleh menjadi punca hepatitis.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Ong Sik Yong berkata, terdapat lima jenis utama virus hepatitis iaitu Hepatitis A, B, C, D dan E.

"Kesemua virus hepatitis ini boleh menyebabkan hepatitis tetapi cara transmisi adalah berbeza, sekali gus membezakan kaedah pencegahannya," katanya sambil menambah bahawa kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dijangkiti virus itu.


"Selalunya, rawatan pada kanak-kanak akan tertumpu kepada menyokong keadaan umum pesakit untuk mengembalikan semula kesihatan mereka. Selain itu, ubat-ubatan atau toksin yang dikenal pasti sebagai punca keradangan hati akan diberhentikan serta-merta," katanya.

Dr Ong berkata dalam kebanyakan kes hepatitis akut, keadaan pesakit boleh pulih sepenuhnya dengan rawatan sewajarnya, namun dalam keadaan jarang, penyakit ini boleh mengakibatkan kegagalan hati akut yang boleh mengancam nyawa dalam tempoh singkat.

Beliau berkata Hepatitis A tidak menyebabkan penyakit hati kronik, namun, Hepatitis B dan C boleh menyebabkan jangkitan kronik dan pesakit yang dijangkiti mungkin berisiko maut akibat sirosis hati dan kanser hati.

"Kanak-kanak menghidapi hepatitis memerlukan pemeriksaan perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit sebelum rawatan khusus boleh diberikan. Terdapat juga penyakit hati kronik tertentu seperti hepatitis autoimun, terdapat ubat-ubatan tertentu yang boleh digunakan untuk mengawal sistem imun terlalu aktif, sekali gus menghalang serangan pada hati," katanya.

Katanya, bagi hepatitis akut, jangkitan virus boleh menyebabkan keradangan hati yang menyaksikan kanak-kanak mengalami gejala seperti jaundis (kulit dan mata menjadi kekuningan), air kencing berwarna gelap, keletihan melampau, loya, muntah, sakit perut, gejala seperti demam atau hilang selera makan.


Sementara itu, beliau berkata bagi hepatitis kronik yang berpunca daripada jangkitan virus hepatitis seperti Hepatitis B atau C, penyakit hati berlemak, ubat-ubatan atau penyakit autoimun, pesakit selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala, oleh itu, penyakit itu hanya ditemukan pada peringkat awal dan kadang-kadang secara kebetulan melalui pemeriksaan fizikal atau ujian darah untuk penyakit lain.

"Disebabkan itu, pesakit yang mengalami jangkitan kronik mempunyai risiko kematian akibat sirosis hati (parut atau fibrosis pada hati disebabkan oleh kerosakan hati jangka panjang) dan kanser hati," katanya.

Dr Ong berkata banyak cara virus hepatitis boleh tersebar, contohnya, Hepatitis A dan E biasanya disebarkan apabila kanak-kanak makan atau minum makanan atau minuman yang tercemar oleh najis individu dijangkiti Hepatitis A.

"Hepatitis B, C dan D pula boleh berjangkit melalui laluan parenteral iaitu pendedahan kepada darah, air mani atau cecair badan yang lain. Virus ini paling kerap berjangkit daripada ibu kepada anak semasa kelahiran, peringkat awal kanak-kanak, serta melalui sentuhan dengan darah atau cecair badan lain semasa hubungan seks dengan pasangan yang dijangkiti, suntikan tidak selamat atau pendedahan kepada benda tajam," katanya.


Bagaimanapun, dengan kemajuan perubatan, penyakit virus hepatitis boleh dicegah dengan mengambil vaksinasi terutamanya virus Hepatitis A dan B, dan di Malaysia, program vaksinasi Hepatitis B untuk kanak-kanak telah diperkenalkan pada 1989 dan berjaya mengurangkan seroprevalens jangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia kepada 0.01 peratus.

"Semua bayi baru lahir disyorkan untuk menerima vaksinasi Hepatitis B yang pertama sejurus selepas dilahirkan, sebaik-baiknya dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran. Mereka juga perlu menerima dua dos penggalak vaksin untuk dilengkapkan sebelum berusia enam bulan," katanya.


Bagi ibu hamil yang merupakan pembawa Hepatitis B, beliau berkata pengambilan ubat antiviral semasa kehamilan disyorkan untuk mencegah transmisi daripada ibu kepada anak manakala vaksin Hepatitis A pula biasanya diberikan daripada usia setahun ke atas dan dos kedua diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos pertama.

Buat masa ini, masih tiada vaksin untuk mencegah jangkitan Hepatitis C, D dan E dan Dr Ong menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada menggunakan ubat-ubatan atau suplemen yang tidak diketahui tahap keselamatannya, mengambil ubat tidak disyorkan oleh doktor serta mengambil ubat belian kaunter secara berlebihan kerana boleh menyebabkan kecederaan hati.


Sumber:https://www.astroawani.com/gaya- ... a-kanakkanak-435857

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-4-2024 11:38 PM GMT+8 , Processed in 0.056207 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list