CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1188|Reply: 1

Jangan Jadi Bebal Polemikkan Modul Hadis 40

[Copy link]
Post time 29-8-2023 09:23 AM | Show all posts |Read mode
Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menyifatkan segelintir pihak seolah-olah mahu menangguk di air keruh apabila isu modul hadis 40 dipolemikkan.


Tindakan ini bukan sahaja memperlihat sikap buruk, juga kejahilan bebal pihak terbabit kerana selain untuk kelompok sasaran yang begitu nyata, ia mempunyai matlamat murni, antaranya untuk memupuk kesederhanaan bagi mencapai keharmonian lebih padu.


Cadangan untuk semua sekolah kerajaan menggunakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selepas dirintiskan di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) adalah hanya untuk murid dan pelajar Islam. Meskipun tidak disebut secara khusus pada waktu pelancarannya, ia sepatutnya difahami sebegitu dan bukan sebaliknya.




MODUL Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang dirintiskan di 61 SMKA dan 228 SABK seolah-olah sengaja mahu dipolemikkan sesetengah pihak, dipercayai untuk agenda tertentu. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK




Ini yang sudah tentu baik untuk semua pihak tidak perlu dipertikai dari apa-apa jua sisi termasuklah pengajaran himpunan hadis itu yang didakwa tidak selari dengan hakikat kepelbagaian di negara ini, lebih-lebih lagi dari segi agama. Ia juga ditohmahkan secara liar dalam konteks agama Islam mahu digunakan untuk mempengaruhi bidang pendidikan.


Tindakan membantah yang dilakukan dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 12(2) dan 12(3) bukan sahaja amat meleset sifatnya. Ia memperlihat masalah kefahaman dangkal pada mereka ini.


Sehubungan ini, cadangan itu amat selari dengan peruntukan kepada Islam pada Perkara 12(2). Ia yang tidak pun dicadangkan untuk murid dan pelajar bukan Islam juga sejajar dengan Perkara 12(3).


Dalam pada ini, cukup malang sekali kerana masih terdapat warganegara Malaysia yang mahu mengherot kebenaran walaupun ia jelas lagi nyata dalam perundangan agung negara. Penghujahan diutarakan beberapa pihak itu bukan sahaja langsung tidak berasas, ia berupa cabaran cabul yang boleh mencetuskan kemarahan daripada umat Islam. Ini kerana diketahui umum bahawa pendidikan Islam adalah khusus untuk hanya murid dan pelajar Islam yang tidak pernah pun dipaksakan kepada bukan Islam.


Ia bukan sahaja bersifat sebegitu untuk akur kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 11. Lebih daripada itu, ia ajaran Islam yang memang melarang paksaan dalam beragama.


Justeru, kebimbangan mendalam dalam kalangan bukan Islam itu bukan sahaja tidak tepat tetapi semata-mata sesuatu yang diandaikan sahaja. Ia sebegitu kerana defisit kepercayaan yang sudah teruk kini dan sengaja pula dieksploitasi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu. Antaranya dengan menimbulkan kesangsian yang tidak munasabah langsung seperti pembelajaran himpunan hadis itu akan perlahan-lahan ikut dikenakan kelak kepada murid dan pelajar bukan Islam.


Amat sangat menyedihkan apabila badan keagamaan bukan Islam menyanggah dengan cara tidak sesekali melambangkan keimanan keagamaan yang tinggi. Ini kerana hujah dikemukakan itu bukan sahaja tidak dilafazkan dengan kata baik-baik. Juga ia langsung tidak mencerminkan ketetapan hati dan kekuatan batin pihak berpedoman yang kepimpinannya terdiri daripada paderi, sami dan seumpama itu.


Dengan ini, penyanggahan itu bukan sahaja kelihatan seperti mahu mencampuri urusan Islam, juga semacam ingin menentangnya.


Sepatutnya mereka ini berlapang dada untuk menyokong hasrat murni pada cadangan itu untuk menjadikan umat Islam lebih berpedoman, antaranya dengan menganjurkan kesederhanaan sebagai bimbingan utamanya.


Dengan ini, dampaknya pasti akan membawa banyak kelebihan, baik untuk masyarakat mahupun negara majmuk ini. Dalam hal ini, mereka sepatutnya memanfaatkan peranan sosial agama bukan sahaja bagi membina solidariti sosial yang erat, malah memperteguhnya agar selalu utuh.


Akan tetapi, perkara yang dilakukan mereka adalah sebaliknya, iaitu memperalat sentimen keagamaan. Sesungguhnya agama adalah tema penting dalam penyatuan negara, lebih-lebih lagi yang majmuk sifatnya.


Untuk Malaysia, ia dilakukan melalui Rukun Negara.


Prinsip pertamanya, Kepercayaan kepada Tuhan menganjurkan kesedaran bahawa agama adalah perkara penting dalam kehidupan manusia. Dengan ini, prinsip ini menyorong rakyat untuk menjalani kehidupan lebih bermakna dari segi kerohanian.


Oleh itu, kuasa agama yang mampu membawa integrasi sosial perlu digemblengkan. Ini dilakukan berdasarkan nilai, kepercayaan dan norma yang diajar pada setiap agama itu. Inilah sebenarnya ingin dicapai pada modul hadis itu yang ikut menekankan kecintaan, tanggungjawab, kecemerlangan dan kebaikan dalam konteks kebersamaan. Dengan ini, ia mahu dijadikan asas kehidupan bersama daripada umat Islam dalam menjalani kehidupan majmuk di negara ini.


Mengapakah matlamat semurni itu masih mahu disangkal? Ia sebetulnya harus disokong kerana berhasrat untuk antaranya mengunjungkan kepelbagaian agar lebih sempurna kefahamannya dalam kalangan murid dan pelajar Islam. Ini seterusnya pasti akan mengunjukkan dampak positif untuk mereka menerima kepelbagaian dengan seadanya termasuklah manusia yang berlainan kepercayaan agama. Juga pasti ini akan menghindarkan mereka daripada melata pihak lain untuk menentukan adanya kasih sayang sesama manusia.

Adakah semua ini tidak baik dalam konteks keharmonian negara untuk disokong? Sesungguhnya modul hadis itu adalah sumbangan daripada Islam kepada keharmonian negara. Ia akan menjadi kelengkapan untuk merapatkan kita semua yang berlainan agama. Dengan sifatnya yang begitu murni, apa-apa jua bantahan terhadapnya merupakan pengkhianatan kepada negara. Ini kerana ia adalah perbuatan yang bukan sahaja menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, juga kedaulatan negara.




Sumber: UTUSAN
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 30-8-2023 05:23 PM | Show all posts
macam kecoh pasal hukum hudud la...bukan guna pakai pada bukan islam pun..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-10-2024 03:31 AM GMT+8 , Processed in 0.029063 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list