Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM1 juta terhadap bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd. Salleh terhadap dua kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja.
Hakim K. Muniandy menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabudin, 61, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan sekaligus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada kedua-dua pertuduhan tersebut.
SABUDIN Mohd. Salleh tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar hukuman atas dua kesalahan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja. UTUSAN/SHIDDIIEQIIN ZON
“Keterangan itu tidak disangkal. Tiada sesiapapun termasuk tertuduh yang akan menjemput orang asing ke majlis perkahwinan yang merupakan satu majlis sosial. Jemputan itu membuktikan tertuduh mengenali SP3,” ujar hakim berkenaan.
Pihak pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Sesyen pada 15 September 2022 yang melepas dan membebaskan Sabudin, 61, daripada dua pertuduhan rasuah, di akhir kes pembelaan.
Sabudin diperintahkan membela diri selepas Mahkamah Tinggi pada 24 Mac 2022 membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 18 Disember 2020, yang membebaskannya daripada dua tuduhan itu, di akhir kes pendakwaan.
Bagi kedua-dua tuduhan, dia yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan RM200,000 daripada May Kuan sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.
Kerja itu berkaitan `Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk DBKL Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)’.
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di dalam kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, di Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.
Tuduhan itu mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sumber: Utusan
|