|
Dakwaan Shafee tidak masuk akal dan melampau - Zeti
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hadir bagi sambung bicara kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, hari ini menyenaraikan beberapa siri kejadian bagi menunjukkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, sangat rapat dengan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Antaranya, peguam bela Datuk Seri Najib Razak itu mencadangkan kepada Zeti, bahawa Jho Low yang rapat dengan suaminya, Datuk Dr Tawfiq Ayman, akan datang ke rumahnya (Zeti) di Bukit Tunku pada hujung minggu dan memasak pasta untuk keluarga itu.
Bagaimanapun, Zeti yang juga saksi pendakwaan ke-46 itu menegaskan dakwaan itu tidak benar.
"Ia (cadangan) tidak masuk akal dan melampau," katanya.
Muhammad Shafee juga mencadangkan bahawa Jho Low pada setiap kali mengadakan pertemuan di rumah Najib di Langgak Tunku, akan meminta diri untuk ke rumah Zeti di Bukit Tunku yang berdekatan.
Menjawab cadangan Muhammad Shafee, Zeti berkata, beliau dan keluarga tidak mempunyai kaitan langsung dengan Jho Low dan turut menafikan cadangan bahawa beliau pernah memberitahu Najib bahawa Jho Low gemar menghadiahkan barangan mewah, tetapi beliau memulangkan pemberian berkenaan.
Katanya, dakwaan bahawa Jho Low dan suaminya adalah rakan perniagaan adalah tidak benar dan beliau tidak ingat pernah membincangkan perkara mengenai pemberian Jho Low dengan Najib yang ketika itu perdana menteri.
Zeti berkata, beliau ambil maklum mengenai dakwaan Jho Low yang mengaku berkongsi alumni dengan suaminya di Wharton Business School dengan tujuan untuk rapat dengan Tawfiq.
Sementara itu, Zeti menafikan dakwaan bekas Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, Tim Leissner, yang memberikan keterangan dalam perbicaraan terhadap bekas pegawai bank terbabit, Roger Ng.
Leissner mendakwa, suami Zeti menerima rasuah bagi membolehkan dana berjumlah AS$1 bilion bagi projek usaha sama 1MDB-Petrosaudi dapat dipindahkan ke luar negara tanpa kelulusan BNM.
Menurut transkrip perbicaraan di Mahkamah Tinggi Brooklyn itu yang dirujuk Muhammad Shafee, Leissner memberi keterangan bahawa BNM terpaksa meluluskan pengiriman wang terbabit kerana pada 2009 Malaysia masih terikat dengan undang-undang kawalan modal.
Peguam itu yang membacakan transkrip yang menyatakan AS$1 bilion disalurkan keluar dari Malaysia semalaman dan ia dilakukan kerana suami Zeti menerima rasuah
Menjawab persoalan berkenaan, Zeti berkata suaminya tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya dan tidak pernah bertemu Ng dan Leissner.
Disoal sama ada BNM membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal dakwaan itu, Zeti berkata, bank pusat itu tidak berbuat demikian kerana diberitahu ia akan menjejaskan kes terbabit.
Bagaimanapun, Zeti berkata, suaminya membuat kenyataan media berhubung perkara berkenaan kerana ia bersifat peribadi kepadanya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang.
Sumber:https://www.bharian.com.my/berit ... l-dan-melampau-zeti
|
|