SIK: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dengan majoriti selesa 16,050 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Muhammad Sanusi memperoleh 21,823 undi mengatasi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat sebanyak 5,773 undi.
Kemenangan itu diumumkan Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Jeneri, Mahamad Suhaimi Man di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik, di sini pada jam 10.20 malam tadi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang dengan majoriti 2,455 undi dalam saingan tiga penjuru bersama calon BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan.
Ketika itu, Muhammad Sanusi memperoleh 10,626 undi, diikuti Mahadzir (8,171 undi) dan Mohd Nazri (4,146 undi)
Sementara itu, calon PN bagi DUN Belantek, Ahmad Sulaiman menang dengan majoriti 14,156 undi. Beliau memperoleh 17,782 undi menumpaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mazli Saipi yang mendapat 3,626 undi.