|
Kuching: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di hutan ketika mencari katak di Sungai Banyau, Nanga Sebala Mujong di Kapit, sejak tiga hari lalu ditemui selamat, hari ini.
Nyipa Ajong, 68, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 2 petang tadi pada jarak empat kilometer dari lokasi dia bersama rakannya berehat Isnin lalu.
Nyipa Ajong ditemui selamat hari ini, pada jarak empat kilometer dari lokasi dia disedari hilang pada Isnin lalu. - Foto ihsan JBPM
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun sedikit keletihan.
"Mangsa diserahkan kepada pihak polis Kapit untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Pusat Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima panggilan daripada pihak polis berhubung kehilangan mangsa pada jam 10.32 pagi, Isnin lalu.
"Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dilaporkan keluar mencari katak, namun disedari hilang ketika dalam perjalanan pulang.
"Saksi memaklumkan kepada penduduk rumah panjang mengenai kehilangan warga emas itu dan mereka membuat pencarian awal namun gagal mengesan mangsa," katanya.
Menurutnya, SAR dilancarkan anggota BBP Kapit, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
" encarian dilakukan dalam radius kira-kira 10 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat Isnin lalu sehingga dia ditemukan selamat, hari ini," katanya.
Sumber: BH Online |
|