Anggota bomba bertindak dusulan rakaman insiden mencemaskan seorang pengasuh yang menyedari budak lelaki berusia empat tahun tanpa sedar 'baring' di atas seekor ular tedung.
Difahamkan, pengasuh yang menyedari kehadiran reptilia itu memujuk kanak-kanak berkenaan tidak melakukan sebarang pergerakan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba.
 Tangkap layar memaparkan seekor ular senduk tertindih di bawah badan kanak-kanak yang berbaring di rumah pengasuhnya di Bagan Serai, Isnin lalu. - Foto ihsan pembaca
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, panggilan bantuan menangkap ular diterima pada jam 11.28 pagi.
"Semasa tiba di lokasi kejadian didapati kanak-kanak itu sedang berbaring dan menindih ular tedung yang panjangnya 0.4 meter.
"Anggota menangkap ular manakala seorang lagi anggota mengangkat mangsa," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Terdahulu, tular video ular berwarna hitam berada di bawah badan kanak-kanak itu dengan bahagian ekornya dipijak ketika berbaring di rumah pengasuhnya di Taman Serai Perdana, Bagan Serai pada Isnin.
MalaysiaGazette
Tambah Sayani, pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa dan diserahkan semula kepada pengasuh.
"Ular terbabit kemudiannya dilepas semula ke habitat asalnya yang jauh daripada penempatan penduduk," katanya.
Sumber: Sinar Harian |