|
Farahdhiya buat laporan polis, ambil tindakan individu sunting gambar ayah
Farahdhiya ditemani A Aida membuat laporan polis.
Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Farahdhiya, 39, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menyunting gambar bapanya, Allahyarham Mohd Amin Zubir sebagai gambar lucah.
Farahdhiya atau pemilik nama Farah Dhiya Mohamed Amin berkata, tindakan individu terbabit melampaui batasan sekali gus memaksanya untuk teruskan dengan tindakan undang-undang.
"Sebenarnya, minggu lalu, saya terima tiga keping gambar di Instagram dan salah satunya, gambar arwah ayah dan menggunakan gambar kubur arwah ayah. Individu itu ambil gambar-gambar itu dari Instagram saya.
"Gambar itu memaparkan kubur ayah saya, kemudian disunting dan ditampal dengan gambar seorang lelaki serta dua wanita berbogel. Lebih keterlaluan lagi, gambar lelaki itu disunting dan bahagian muka, ditampal dengan wajah ayah saya," katanya kepada Harian Metro.
Tambah penyanyi lagu Bertakhta di Hati itu lagi, dia tidak mengenali individu yang didakwa menggunakan akaun Instagram palsu itu.
"Dia guna Instagram palsu untuk hantar gambar tanpa sebarang tulisan atau mesej. Saya tak bermusuh dengan sesiapa, tetapi kita tak tahu niat orang.
"Selama 19 tahun saya berada di dalam industri, memang ada berlaku foto saya disunting dan sebagainya. Tapi, setiap kali nak buat laporan polis, saya fikir semula kerana prosesnya akan jadi panjang.
"Jadi, bila dah membabitkan ayah yang dah tak ada, saya memang tak boleh terima. Saya maklumkan abang saya dan dia pun setuju untuk teruskan dengan laporan polis," katanya.
Ditanya sama ada dia akan teruskan dengan tindakan undang-undang sekiranya individu itu tampil membuat permohonan maaf, Farah berkata, itu tidak akan dapat memadam kesalahannya.
"Kalau boleh, nak sangat tahu siapa di sebalik individu dan minta maaf walaupun kesalahan ini takkan dapat diselesaikan sekadar dengan permohonan maaf.
"Dia boleh minta maaf, tapi orang begitu, adakah perasaan? Saya rasa, orang yang tergamak buat benda begitu, dia sakit mental. Mungkin dia boleh menjadi lebih bahaya kalau dibiarkan.
Di Instagramnya, Farah memuat naik video memaparkan dirinya yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan, ditemani oleh penerbit yang juga sahabatnya, Datuk A Aida.
"Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, terimalah padahnya. Alhamdulillah, selesai buat laporan di balai. Semoga dipermudahkan urusanku. Terima kasih kakakku (A Aida), temankan Farah," tulisnya.
A Aida juga memuat naik videonya bersama Farah ketika berada di balai polis dengan ucapan semangat.
"Kita cari sampai dapat. Lawan sampai habis. Semoga dipermudahkan segala urusan," tulisnya.
Untuk rekod, Mohd Amin meninggal dunia pada 9 Januari 2020 akibat komplikasi paru-paru.
SumbeR:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... sunting-gambar-ayah
|
|