|
Satu lagi cabaran TikTok membawa maut, apabila empat individu di Alabama, Amerika Syarikat maut selepas melompat dari belakang bot bergerak.
Cabaran TikTok membuatkan orang ramai melompat dari belakang bot berkelajuan tinggi, dengan menggunakan kaki dahulu.
TikTok
Ada yang melompat ke laut atau tasik, manakala yang lain melakukan aksi backflip.
Skuad Penyelamat Childersburg di Alabama, Kapten Jim Dennis mengesahkan kematian serta-merta empat mangsa terbabit selepas mereka patah leher.
"(Dalam) enam bulan lalu, kami menerima empat kes lemas yang sepatutnya boleh dielakkan kerana mereka melakukan itu akibat pengaruh cabaran TikTok.
"Dalam kes itu empat mangsa ini melompat dari bot menyebabkan mereka patah leher dan kematian serta-merta.
"Saya rasa orang ramai lebih cenderung melakukan sesuatu yang bodoh kerana mereka mahu menunjuk-nunjuk di hadapan rakan mereka untuk dimuat turun dalam media sosial," katanya kepada agensi berita di bawah ABC News, WPDE-TV.
Dennis berkata, Februari lalu seorang lelaki yang mempunyai isteri dan tiga anak, meninggal dunia dalam insiden berhubung perkara serupa.
Katanya, ketika kejadian, isteri sedang merakam lelaki itu meluncurkan dirinya dari belakang bot.
WPDE-TV melaporkan, insiden terbaharu berlaku pada Mei lalu turut membabitkan seorang lelaki pertengahan umur.
Dua lagi yang meninggal dunia ketika melakukan cabaran TikTok juga adalah lelaki, lapor agensi itu.
SUmber: Harian Metro |
|