Padang Terap: "Wang simpanan dalam akaun bank tinggal tak sampai RM100 untuk tampung kos berulang-alik ke hospital bagi merawat barah rahim yang dihidapi sejak tahun lalu," kata Nor Bahiyah Salim, 33.
Nor Bahiyah berdepan kesempitan hidup kerana tiada kemampuan kewangan untuk menjalani rawatan akibat penyakit dihidapinya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurutnya, dia disahkan menghidap barah ketika dirawat di HSB kerana mengalami pendarahan pada rahim yang banyak.
"Hidup saya kosong selepas doktor mengesahkan saya menghidap barah rahim tahap tiga kerana bimbangkan nasib dua anak yang masih kecil jika saya tiada nanti.
"Suami, Azizul Khasim, 36, pula bekerja sebagai pemandu lori saja, jika ada kerja dia pergi tetapi jika saya masuk wad, dia yang menguruskan dua anak kami berusia enam tahun dan 11 tahun," katanya.
Nor Bahiyah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di rumahnya di Kampung Baru, Mukim Tualak, di sini, hari ini.
Menurut Nor Bahiyah, demi meneruskan kelangsungan hidup selain mencari wang untuk rawatan, dia terpaksa menjual kuih simpul kasih dengan harga sebungkus RM2.
Katanya, hasil jualan bergantung kepada keadaan dan kadang-kadang hanya terjual dua atau tiga bungkus saja.
"Duit hasil jualan itu saya gunakan untuk membeli barangan dapur kerana nak tunggu gaji suami, kalau dia ada trip bawa lori baru, dia dapat duit.
"Bil elektrik, air dan rumah sewa juga tertunggak kerana saya hanya bergantung pada suami untuk mencari wang," katanya.
Katanya, dia berharap diberi kekuatan dan kesihatan yang baik supaya dapat melawan penyakit barah rahim supaya tidak merebak.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Islamic Bank 6-9072066-11 atas nama Nor Bahiyah Salim.