CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 206|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'PEJUANG tak mahu jadi faktor pengacau, pecah belah undi Melayu'

[Copy link]
Post time 5-7-2023 03:38 PM | Show all posts |Read mode
'PEJUANG tak mahu jadi faktor pengacau, pecah belah undi Melayu'


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Julai 5, 2023 @ 3:09pm  [email protected]




Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathiri. NSTP/Danial Saad




GEORGETOWN: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) masih berharap berganding dengan Perikatan Nasional (PN) berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meskipun permintaan untuk menyertai gabungan itu pernah ditolak sebelum ini.

Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata harapan untuk bergabung dengan PN kembali timbul selepas pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di ibu kota semalam.

"Seperti mana semua sedia maklum, PEJUANG telah memohon menyertai PN, malangnya permohonan kami itu telah ditolak walaupun tidaklah kami dapat berita itu secara rasmi tetapi ia dilaporkan secara meluas melalui media.

"Walaupun begitu, sejak ayahanda Tun Mahathir memulakan gerakan Proklamasi Orang Melayu, nampaknya ada respons daripada PN dan kami juga antara yang menyokong Proklamasi Orang Melayu.

"Jadi harapan kami ialah untuk terus dapat berpeluang untuk menyertai PRN khususnya di beberapa negeri seperti Kedah dan Selangor supaya tidak bertembung dengan PN sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita di kampus Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Mukhriz berkata, secara umum perjumpaan antara dua tokoh politik itu semalam bertujuan membincangkan nasib orang Melayu dengan beliau ingin menyaksikan sama ada PRN bulan depan dapat menjadi pentas untuk melihat sama ada bangsa Melayu benar-benar boleh bersatu atau tidak.

"Sebab kita sudah tahu kebelakangan ini mungkin dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini undi Melayu berpecah teruk sangat, itu merunsingkan orang Melayu itu sendiri," katanya.

Justeru, Mukhriz menegaskan tujuan utama PEJUANG mahu bergabung dengan PN adalah supaya undi Melayu disatukan dan beliau melihat ia formula terbaik untuk memastikan kemenangan PN dalam pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

"Jadi kami sebenarnya dari PEJUANG kami parti Melayu, kami tak mahu menjadi faktor pengacau yang memecah belahkan undi Melayu, jadi kita nak lihat supaya undi Melayu itu disatukan iaitu cara terbaik untuk kita berdepan PH-BN," katanya.

Beliau turut berharap PN memberi pertimbangan sewajarnya untuk mengelak pertembungan kerusi dalam usaha mewujudkan situasi satu lawan satu antara gabungan parti bertanding meskipun mengakui pihaknya berasa agak kecewa dengan penolakan pada peringkat awal.

"Jadi itu hasrat kami buat masa ini belum ada lagi keputusan kalaulah ada berita baik setelah Tun Mahathir berjumpa Pengerusi PN semalam...kami fleksibel, kami tidaklah nak tuntut jumlah kerusi sebanyak ini (atau) bukan semestinya kerusi tertentu, kami masih terbuka. Itu mesej yang saya sampaikan kepada PN sebelum ini.

"Malangnya mungkin mereka (PN) mempunyai pertimbangan lain, tapi saya harap mereka masih boleh terbuka untuk pertimbangkan satu keadaan di mana semua parti-parti politik Melayu NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Melayu dapat disatukan bersama dengan mereka dalam berdepan PRN," katanya.

Mukhriz berkata, PEJUANG mempunyai empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu masing-masing dua di Selangor serta Kedah dan beliau pada ketika ini cenderung mengambil sikap tunggu dan lihat dan belum membuat keputusan sama ada untuk bertanding pada PRN atau tidak.

"Tapi tentulah kami bercita-cita untuk bertanding lebih banyak daripada itu. Tujuan kami bukanlah untuk menguasai politik, kami tahu macam mana nak ukur baju di badan sendiri. Jadi kita tidaklah bercita-cita menjadi menteri besar (atau) kerajaan secara bersendirian.

"Semestinya (dengan) kita bergabung dengan satu pihak yang lain dan yang kami nampak PN ialah gabungan yang begitu besar yang mempunyai keupayaan memberi saingan sengit kepada kerajaan Persekutuan sedia ada," katanya.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2025 09:44 PM GMT+8 , Processed in 0.063372 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list