Langkawi: Anak seorang menteri antara yang diperiksa dalam serbuan polis di sebuah pusat hiburan, di sini, minggu lalu kerana beroperasi lebih masa.
Difahamkan lelaki berusia 35 tahun itu baru tiba dari Pulau Pinang dan berkunjung ke pusat hiburan terbabit.
Menurut sumber, anak menteri terbabit bagaimanapun tidak ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.
Terdahulu satu media sosial memuat naik laporan polis mendakwa anak seorang menteri antara yang ditahan dalam serbuan di pusat hiburan terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan terdapat serbuan dibuat.
"Dalam serbuan jam 2 pagi 29 Jun lalu, satu pemeriksaan dibuat di satu pusat hiburan di Kuah yang beroperasi lebih masa.
"Di dalam pemeriksaan itu dua orang lelaki tempatan ditahan kerana positif dadah namun mereka tiada kaitan dengan mana-mana ahli politik.
"Saringan air kencing ke atas pengunjung lain adalah negatif dan mereka tidak ditahan di lokap," katanya.