View: 254|Reply: 0
|
'Jack Ma Of Thailand' Dipenjara 1,155 Tahun
[Copy link]
|
|
Bangkok: Jutawan Thailand yang diberi jolokan 'dermawan' oleh pengikutnya, Prasit Jeawkok dihukum penjara 1,155 tahun atas 321 pertuduhan penipuan.
Mahkamah Jenayah Thailand memutuskan demikian semalam, namun mengikut amalan perundangan negara itu, Prasit hanya akan menjalani hukuman penjara paling lama 20 tahun.
Prasit dan dua defendan lain masing-masing turut didenda 145 juta baht (RM19.9 juta) dan diperintah membayar pampasan kepada 321 mangsa sebanyak kira-kira satu bilion baht (RM0.13 bilion).
Enam lagi defendan bagaimanapun dibebaskan berikutan kekurangan bukti, menurut laporan Thai PBS World.
Prasit dan rakan sekutunya dituduh mengendalikan skim Ponzi yang berselindung di sebalik usaha niaga pelaburan sepanjang 2020 dan 2021, yang menjanjikan pulangan lumayan antara 40.15 hingga 51.1 peratus.
Keputusan mahkamah itu disiarkan menerusi persidangan video ke penjara keselamatan maksimum Bang Khwang yang menempatkan Prasit sepanjang perbicaraan berlangsung.
Prasit didaftarkan sebagai pengarah bagi sekurang-kurangnya 10 syarikat yang terbabit dengan pelbagai perniagaan, termasuk tempahan hotel dalam talian, tiket penerbangan, pelancongan, hartanah, perisian komputer dan reka bentuk sistem teknologi maklumat (IT).
Laman webnya menggambarkan Prasit sebagai 'Jack Ma of Thailand', malah halaman bertajuk 'Biografi presiden' memaparkan foto Prasit bersama mendiang presiden Majlis Privy, Prem Tinsulanonda; Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dan beberapa bekas menteri Kabinet dan komander kanan tentera.
Prasit mendakwa 90 peratus daripada keuntungan diperoleh dikembalikan kepada masyarakat menerusi projek 'Membayar Kembali kepada Tanah Air', dengan 100 juta baht (RM13.3 juta) diperuntuk setiap tahun bagi kerja amal dan sumbangan kepada orang ramai.
Sumber: Harian Metro |
|
|
|
|
|
|
| |
|