Tampil dengan lagu baharu berjudul Menggenggam Bahagia, penyanyi Sufian Suhaimi menafikan dakwaan khabar angin yang mengatakan karya tersebut adalah 'hint' dirinya sedang meniti ke gerbang bahagia.
Katanya ketika dihubungi, itu adalah kali pertama dia mendengar mengenai spekulasi tersebut sekali gus menyangkal spekulasi yang sedang berlegar itu.
"Saya tak tahu nak jawab apa sebab ini adalah kali pertama saya dengar spekulasi ini. Lagu itu tidak ada kaitan pun dengan hari bahagia. Bukan juga hint mengenai soal peribadi.
"Ketika komposer dan penulis lirik hasilkan lagu ini, mereka tidak tahu pun kehidupan peribadi saya secara terperinci.
"Lagu itu lebih kepada citarasa sebagai pengkarya untuk menghasilkan lagu terbaik untuk industri muzik tanah air," katanya.
Baru saja melancarkan lagu berentak balada itu, Sufian berharap karya hasil ciptaan komposer Sirkhan, Rinkarnaen dan Sang Hitam itu mendapat tempat dalam kalangan peminat serta pendengar muzik tempatan.
Tambah pemenang Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) itu lagi, bukan pengiktirafan yang dikejar setiap kali tampil dengan karya baharu tetapi keutamaan adalah pada kualiti naskhah tersebut.
"Saya harap, lagu ini diterima baik oleh pendengar seluruh negara. Kalau ada rezeki ke AJL, alhamdulillah.
"Tapi, saya tak pernah berkarya untuk kejar anugerah atau pengiktirafan dari satu pihak. Saya cuba hasilkan lagu sebaik yang mungkin untuk pendengar dan peminat," katanya.
Berkongsi cerita lebih lanjut mengenai cabaran menyanyikan lagu berkenaan, kata Sufian, lagu tersebut pada awalnya dihasilkan untuk duet namun selepas perbincangan beberapa pihak, mereka sepakat untuk menjadikan naskhah tersebut sebagai lagu solo.
Malahan, lagu itu sudah lama ditulis namun hanya siap secara rasmi baru-baru ini.
"Cabaran lebih kepada teknikal sebab asalnya untuk dua orang iaitu untuk saya dan seorang lagi penyanyi wanita tetapi selepas beberapa kali cuba dan berbincang dengan syarikat pengurusan, label dan komposer, kami jadikan ia lagu solo untuk saya.
"Jadi, cabaran utama adalah bagaimana saya nyanyikan lagu tersebut secara sendirian sedangkan ia asalnya untuk dua orang. Kalau perasan, awal lagu itu ada key modulation.
"Jadi, saya kena sampaikan lagu itu mengikut pemahaman komposer dan penulis lirik. Alhamdulillah, ketika proses rakaman kami dapat cari tone dan lenggok sesuai dengan suara saya.
"roses buat lagu mudah tetapi tak terlalu sekejap sebab dah tulis lama, lebih setahun. Dari demo pertama sampai official, ada saja penambahbaikan yang dibuat untuk jadikan lagu itu lebih soulful," katanya. - CARI