Baggio, 52, mengakui masih trauma dengan insiden mikrofon tidak berfungsi ketika beraksi menyanyikan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) pada 1991.
Walaupun sudah 32 tahun insiden itu berlaku, namun sampai ke hari ini dia tetap trauma mengenangkannya.
Foto: Harian Metro
"Saya memang tak pernah lupakan insiden itu. Ia menjadi pengalaman sendiri ketika terbabit persembahan secara langsung di AJL ketika itu. Sampai sekarang, perasaan trauma saya tak hilang.
"Bayangkan empat baris lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi yang saya nyanyikan ketika itu tak dengar suara sebab mikrofon tak berfungsi. AJL pula adalah pertandingan dan ia ditayangkan secara langsung," katanya.
Baggio berkata, dia bagaimanapun dapat menutup kelemahan dirinya dalam persembahan itu berbekalkan pengalaman ditimba menerusi 'show' dilakukannya di karnival riang ria atau 'fun fair' disertai.
"engalaman banyak mengajar saya menghadapi kejadian yang berlaku tiba-tiba dan tidak disangka dengan tenang. Namun, traumanya yang tak pernah hilang sampai sekarang.
"Saya bersyukur masih dapat menyanyi dengan baik dan aktif dalam karier seni sampai sekarang dengan menghasilkan lagu-lagu solo terbaru yang dimuat naik di YouTube," katanya.
Baggio hadir pada majlis sidang media Konsert Annivesari Ke- 33 Damasutra The Journey yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Oktober depan.
Turut hadir, anggota Damasutra iaitu Amran (bass), Assu (dram) dan pemain gitar yang juga anggota baru, Rizal Wahab.
Rizal menggantikan Allahyarham Narudin Yunus atau Alok yang meninggal dunia pada 30 Oktober 2019.
Damasutra yang ditubuhkan pada akhir 1989 mula mencipta nama pada 1990 dan turut popular dengan lagu Sufi, Antara Sutra Dan Bulan, Sembunyi, Sesat Dalam Rindu, Seribu Bayangan dan banyak lagi. -CARI