Jitra: Pemilik dusun durian di sini, menyediakan raja buah itu secara percuma untuk dimakan sampai kenyang kepada pengunjung yang membeli buah terbabit di situ.
Elias Darus, 62, berkata, tawaran itu dibuatnya berikutan berlakunya lambakan durian pada musim kali ini di dusunnya di Kampung Lembah Arang, Jalan Wang Tepus di sini.
Dia juga terpaksa membuka tempahan kepada orang ramai itu melalui media sosial.
Menurutnya, dusun pusaka seluas 2.5 hektar menghasilkan buah yang banyak pada tahun ini.
"Dusun ini mempunyai hampir 100 batang pokok durian dan setiap pokok mampu mengeluarkan antara 80 hingga 100 biji buah secara berperingkat.
"Keseluruhan pokok durian di sini adalah jenis durian kampung tetapi ada juga jenis Musang King tapi tak banyak sangat malah tak menjadi tahun ini.
"Dalam sehari, kira-kira 200 kilogram (kg) durian gugur pada sebelah pagi dan saya menjualnya mengikut tempahan yang diambil," katanya.
ELIAS Darus menunjukkan durian kampung yang dijual di dusunnya yang mendapat sambutan ramai. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Elias berkata, harga durian juga sudah jatuh iaitu sekitar RM8 sekilogram berbanding RM10 dan RM12 sebelum ini.
"Lagi banyak buah, harganya akan turun dan saya mengalu-alukan mereka yang datang secara berkumpulan untuk datang ke sini tetapi perlu membuat tempahan terlebih dahulu," katanya.
Elias yang juga pesara kerajaan berkata, paling jauh pelanggan yang datang adalah dari Selangor dan ada yang datang dari pelbagai kaum termasuk Cina.
"Musim durian kali ini ada dua peringkat dan sekarang ini masih di peringkat pertama, manakala peringkat kedua pula akan gugur sekitar hujung Ogos atau September nanti," katanya.