|
Tidak dinafikan, nama pelakon Sophia Albarakbah mulai dikenali selepas terpalit dengan kontorversi. Bagaimanapun, aktres yang juga calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, enggan meraih undi kerana cerit sensasi sebaliknya menerusi hasil kerja seni.
Katanya, mana-mana individu yang dikenali ramai pastinya sukar untuk mengelakkan diri daripada terpalit dengan isu panas. Namun, Sophia tahu kewujudannya dalam industri seni sudah mula disedari sebelum terkait dengan kisah hangat.
"Nak atau tak nak, ia akan ada kalau bukan tahun ini, tahun akan datang. Kita tak boleh lari, namun, saya tak kisah orang kata saya mendapat undi disebabkan kontroversi kerana kalau orang rasa saya berhak menang, undilah," katanya kepada BH Online.
Pelakon drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah yang menembusi calon awal kategori BBNU Wanita Popular, Aktres Filem Popular, Aktres TV Popular dan Couple Drama Popular itu bagaimanapun mengakui untuk karya ditonton, populariti adalah penting.
"Secara peribadi, saya merasakan popular amat diperlukan. Ini kerana apabila popular maknanya orang suka. Misalnya, saya meletakkan diri sebagai penonton, saya mahu ke pawagam menonton filem disebabkan apa? Ia tentulah disebabkan pelakon kesukaan kita.
"opulariti membantu kita menarik perhatian orang menonton karya kita. Mungkin nak jadi popular bukan perkara utama dalam karier, tetapi ia banyak membantu mengetengahkan bakat dan karya," katanya.
Tambahnya, seperti pencalonan dalam ABPBH 35, ia banyak membantunya untuk lebih dikenali dan pada masa sama, menarik peminat menonton karya lakonannya.
" encalonan ABPBH 35 membantu sebab pencalonan ini juga seperti publisiti membantu lebih ramai mengenali saya. Bila nampak nama saya turut tersenarai, orang akan cari karya lakonan.
"Mungkin ada yang suka akan terus sokong karya saya seterusnya," katanya.
Tidak menolak peluang sekiranya ditakdirkan membawa pulang trofi kemenangan, Sophia berkata, kejayaan akan menjadi titik tolak untuknya lebih serius memperbaiki mutu lakonan.
Sophia yang juga sepupu kepada penyanyi, Aisha Retno berkata, dia tidak terlalu berharap untuk menang dan meletakkan semuanya kepada rezeki.
"Saya tidak meletakkan harapan, kalau orang ramai undi dan saya dapat bolos ke Top 5, itupun saya bersyukur. Mungkin kategori BBNU Wanita Popular ada harapan, namun calon-calonnya juga artis hebat.
"Jujurnya, saya ingatkan peluang saya dicalonkan dalam ABPBH masih jauh. Tetapi, saya sudah empat tahun berada dalam industri barulah diberi kesempatan dicalonkan bersama nama-nama hebat.
"Jadi, saya akui perjalanan dan pencapaian saya ke tahap ini agak pantas. Sebab sesetengah anak seni perlu mendaki lama dalam industri barulah boleh dicalonkan. Saya dikira bertuah agak cepat ke tahap hari ini," katanya.
Berkongsi perkembangan terbaru, Sophia bakal tampil dengan drama terbitan platform penstriman, Viu berjudul Dear Karma yang mana penggambarannya berlangsung di Jepun dan Kuala Lumpur.
Kata Sophia, drama yang turut dibintangi Situ Khadijah Halim, Fimie Don dan Ikmal Amry itu bergenre romantik komedi dan berkisarkan mengenai persahabatan antara empat pemuda.
Tidak putus dengan tawaran drama, Sophia berkata, jadualnya penuh dengan lakonan karya televisyen, justeru terpaksa menolak tawaran lakonan di layar perak.
"Kalau ada masa mungkin saya boleh terima berlakon filem, tetapi buat masa ini, saya tidak putus berlakon drama sejak tahun lalu," katanya yang terbuka menjayakan pelbagai watak.
Sumber: BH Online
|
|