|
Pelakon dan pengacara, Tash Yong, 33, mengambil pendekatan berdiam diri dan meneruskan aktiviti hariannya di media sosial seperti biasa tanpa melayan segala kecaman diterima selepas pendedahan perkahwinannya, baru-baru ini.
Tash atau nama sebenarnya, Nur Natasha Shazlia Rosli berkata, dia tidak mengambil pusing mengenai kata-kata orang kerana sukar untuknya menutup mulut mereka.
Katanya, sekarang lebih baik dia tenang-tenang dan buat apa yang disukai.
"Saya tak nak ulas apa-apa lagi. Cara yang terbaik sekarang adalah diam, menyepi, berdamai dengan diri sendiri, makan dan tidur," katanya ringkas kepada Harian Metro.
Tash berkata, kalau dia terus menjawab atau membalas segala yang diperkatakan itu kerana geram dan rasa sakit hati, sampai bila pun tidak selesai dan akan membuka aib saja nanti.
Baru-baru ini, Tash mengaku dia sudah bernikah dengan lelaki pilihannya, Khaireel Azlee Abdul Aziz atau lebih dikenali, Boss Kay pada Ramadan lalu di luar negara.
Tash berkata, dia tidak berhasrat merahsiakan perkahwinan itu, namun ada beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dulu termasuk perancangan majlis resepsi pada November nanti.
Sebelum ini menerusi hantaran video di Instagram Story, Tash ada memaklumkan dia dan suami bersyukur apabila akaun TikTok miliknya berjaya juga mendapatkan 'canting biru' kerana sudah menunggu lama.
Sejak itu, status hubungannya dan Boss Kay mula diperkatakan tetapi mereka mengambil tindakan berdiam diri dan meneruskan aktiviti di media sosial bersama-sama seperti biasa.
Bagaimanapun, Tash berkata, sekarang mungkin masa sesuai untuk mereka menjelaskan mengenai perkahwinan itu.
Katanya, mereka juga faham pengakuan dibuat mungkin akan berdepan pelbagai kecaman.
Tash dan Boss Kay yang dikenali sebagai TikTok Guru dalam kalangan penggiat TikTok berkenalan pada hujung tahun lalu dan hubungan mereka menjadi rapat pada tempoh yang singkat, sekali gus saling mengenali antara satu sama lain.
Sumber: Harian Metro |
|