|

Artis visual Mohammad Ikhwan Ibrahim mengukir arca pasir sempena Festival Taman Kuala Lumpur, Taman Tasik Titiwangsa anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Kuala Lumpur: Hanya menggunakan dua bahan utama - pasir dan air - artis visual Mohammad Ikhwan Ibrahim, 33, serta berbekalkan kreativiti diri, mampu menjana pendapatan lumayan sehingga mencecah lebih empat angka.
Sebagai satu-satunya pengukir arca pasir yang bergerak aktif di Malaysia, anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini bagaimanapun menyifatkan kerjayanya itu sebagai sesuatu yang mencabar sekali gus memberi kepuasan tersendiri.
"Ia bukan kerja mudah. Pertama, kita perlu mempunyai imaginasi tinggi selain bakat mengukir. Namun, proses sukar ini membuahkan hasil menarik dan mengagumkan apabila siap dibina.
"Seni arca pasir sangat popular di luar negara. Oleh itu, saya mahu berkongsi dengan orang ramai agar seni ini terus dinikmati dan dihargai," katanya.
Mohammad Ikhwan yang mewarisi darah seni daripada bapanya berkata, penggunaan pasir sungai lebih sesuai berbanding pasir pantai kerana teksturnya berbentuk segi empat dan halus selain lebih mudah dibentuk.
"Kelembapan elemen penting bagi memastikan struktur binaan kukuh. Jika terlalu kering, arca merapuh dan runtuh, namun binaan jadi lemah dan luntur sekiranya terlalu banyak air.
"Selalunya, apabila arca siap, ia memang kukuh kecuali ada sentuhan daripada luar terutama kanak-kanak yang mahu merasai sama ada arca itu pasir sebenar atau tidak," katanya.

Mohammad Ikhwan yang lebih dikenali sebagai Ikhwan Saloot berkata, ada lebih 50 karya pasir dihasilkannya sepanjang pembabitannya dalam bidang itu sejak 10 tahun lalu.
Antara dekorasi seni yang berjaya menarik perhatian adalah arca pasir yang menampilkan empat figura mewakili barisan hadapan simbolik kepada pengorbanan mereka yang bekerja tanpa henti sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dibina di Terminal Feri Penumpang, Kuah, Langkawi dan arca pasir berbentuk tangan simbolik membuang undi sempena Pilihan Raya Umum ke-14 di Pantai Batu Ferringgi, Pulau Pinang.
Selain itu, lulusan Ijazah Sarjana Sains Seni Bina Landskap dari Universiti Sains Malaysia ini turut membina arca pasir berupa beberapa jari memegang botol vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Mega Spice Convention Center di Bayan Baru, Pulau Pinang, sebagai tanda sokongan terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Mohammad Ikhwan juga terbabit menghasilkan arca seni Kota Raya Kuala Lumpur iaitu Kuala Lumpur Progresif, menggunakan 12 tan pasir sungai halus, bersaiz tiga meter panjang dan 2.5 meter tinggi serta mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan di Festival Taman Kuala Lumpur, Taman Tasik Titiwangsa anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini.

"Seni arca pasir semakin mendapat tempat, malah ada polisi syarikat korporat, agensi kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan yang mementingkan kelestarian alam sekitar dengan meminta saya melakukannya sebagai simbolik pada sesuatu acara," katanya.
Anak kelapan daripada 14 beradik itu berharap seni berkenaan terus berkembang di Malaysia dengan pembabitan generasi muda.
"Saya galakkan bakat muda berkecimpung dalam seni arca pasir ini kerana ia mampu mendatangkan hasil lumayan serta boleh dilakukan secara sambilan andai pandai membahagikan masa," katanya yang bercadang menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah dalam bidang seni arca awam, pada masa akan datang.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pengukir-arca-pasir |
|