|
BERLIN, Jerman – Pengurus sebuah hospital di barat Jerman kesal selepas seorang pakar bedah mereka mendapatkan bantuan pekerja pembersihan semasa melakukan prosedur pemotongan jari kaki.
Saluran televisyen SRW melaporkan pada Jumaat lalu bahawa kejadian berlaku di Hospital Universiti Mainz pada 2020.
Walaupun tiada sebarang komplikasi berlaku pada pesakit berkenaan, pakar bedah itu terus dipecat.
Gambar Hiasan: Pixabay
Ketua pegawai eksekutif hospital tersebut, Norbert Pfeiffer berkata, pakar bedah itu masih meneruskan pembedahan walaupun tanpa pembantu berkelayakan.
Apabila pesakit dibius, pakar bedah itu meminta bantuan tukang cuci tersebut untuk memegang kaki pesakit dan mengambil alat bedah, lapor akhbar Mainzer Allgemeine Zeitung.
Menurutnya, tukang cuci tersebut tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang perubatan.
Insiden itu terbongkar selepas seorang pengurus hospital ternampak pad kain kasa berdarah pada tangan tukang cuci itu di dalam dewan bedah.
“Ini tidak sepatutnya berlaku,” agensi berita Jerman, DPA memetik Pfeiffer sebagai berkata. –CARI
Sumber: Kosmo |
|