|
MERCEDES mengakui jenteranya berada pada tahap terbaik ketika GP Australia sebelum prestasi W14 tiba-tiba merudum. – AFP
IMOLA – Ketua pasukan Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff tanpa berselindung mengakui, mereka belum lagi menemui pelarasan terbaik untuk jentera W14 sejak Grand Prix (GP) Australia di Litar Melbourne bulan lalu.
Beliau berkata, jentera Mercedes berada pada prestasi terbaik ketika berlumba di Australia, namun selepas perlumbaan tersebut, Mercedes terus kempunan untuk mendapatkan rentak konsisten.
Mercedes sepatutnya akan menggunakan pakej naik taraf baharu pada GP Emilia Romagna di Litar Imola hujung minggu ini, namun perlumbaan itu terpaksa dibatalkan ekoran banjir di kawasan sekitar.
“Melbourne adalah litar di mana kami mendapat tetapan terbaik untuk jentera dan prestasinya sangat mantap. Bagaimanapun, sehingga ke perlumbaan di Miami, prestasi jentera semakin teruk.
“Kami mungkin boleh gembira jika mengharungi minggu positif, namun di mana keghairahan dan keseronokan itu sekiranya kami menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Ia sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Wolff.
Dalam pada itu, beliau tidak akan berpuas hati dengan prestasi jentera selagi pelumba tidak berasa yakin untuk mengerah jentera ke tahap maksimum, tidak kira sama ada dalam sesi kelayakan atau perlumbaan.
“Jentera yang baik adalah apabila pelumba berani untuk ‘tekan’ ke tahap maksimum tanpa sebarang kemungkinan buruk. Buat masa ini, pelumba-pelumba belum yakin dengan kemampuan jentera,” ujarnya.
– AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/05 ... estasi-jentera-w14/ |
|