CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 234|Reply: 0

[Perlis] Risiko tenggelam lebih awal jika paras air laut menaik secara konsisten

[Copy link]
Post time 18-5-2023 11:01 AM | Show all posts |Read mode

NORAZIAN MOHAMED NOOR




ARAU: Beberapa bandar rendah terutama di Alor Setar, Kedah selain di Perlis dan Perak tidak mustahil tenggelam lebih awal daripada jangkaan jika paras air laut menaik secara konsisten atau lebih drastik kesan daripada pemanasan global dan cuaca ekstrem.

Lebih membimbangkan, kebanyakan kawasan rendah tersebut khususnya di Kedah dan Perak merupakan kawasan pertanian membabitkan tanaman padi yang beras merupakan makanan ruji rakyat negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Prof. Madya Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, sekiranya paras air laut menaik secara konsisten atau lebih drastik, tidak mustahil kawasan atau bandar-bandar rendah tersebut bakal tenggelam lebih cepat daripada jangkaan iaitu sebelum 2050.

Katanya, kajian yang dijalankan menunjukkan perubahan drastik terhadap unjuran perubahan purata aras laut iaitu 10 hingga 100 sentimeter dari 2010 hingga 2100.

Jelasnya, ini kerana laporan penyelidik mendakwa ais polar yang menyelubungi Lautan Artik sedang mengalami pencairan pada kadar jauh lebih cepat daripada jangkaan awal saintis.

“Mengaitkan jangkaan tersebut dengan keadaan cuaca panas yang dialami negara iaitu El Nino juga merupakan pemanasan global di mana fenomena tersebut adalah fenomena ekstrem semula jadi yang berlaku 10 hingga 20 tahun sekali.

“Bagaimanapun akibat perubahan iklim, fenomena ini menjadi lebih kerap. Malaysia sebelum ini menghadapi El Nino pada 2016 dan ia menyebabkan cuaca panas dan kering seperti yang kita alami sekarang,” katanya.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, beberapa bandar di Malaysia bakal hilang daripada peta kerana ditenggelami laut disebabkan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang menyebabkan kenaikan paras laut, menjelang 2050 iaitu kurang 30 tahun daripada sekarang.

Antara faktor utama mengakibatkan kenaikan paras laut adalah pencairan glasier Greenland dan Antartika serta kepingan ais, perubahan suhu dalam simpanan daratan dan faktor paling mendominasi ialah pengembangan haba lautan.

Berdasarkan kajian terbaharu oleh Nature Communications iaitu Elevation Data Triple Estimation to SeaLevel Rise and Coastal Flooding yang diperoleh Utusan Malaysia, antara negeri yang bakal terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Antara bandar yang dijangka bakal menerima kesan adalah Parit Buntar sehingga Taiping (Perak), Bandar Muar (Johor) dan Pekan (Pahang) manakala Alor Setar (Kedah) berdasarkan Data Climate Central dijangka menjadi pulau menjelang 2050.

Tambah Norazian, perubahan iklim berlaku akibat daripada kesan jangka panjang pemanasan global.

Katanya, perubahan iklim tersebut juga merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam suhu global, paras laut, dan corak cuaca.

“Ia kebanyakannya disebabkan oleh pemanasan global hasil daripada pengumpulan gas rumah hijau di atmosfera, terutamanya termasuk karbon dioksida (CO2), metana (CH4), dan nitrus oksida (N2O), mempunyai keupayaan untuk menyerap sinaran inframerah, yang dipancarkan dari permukaan bumi.

“Kesan jangka panjang pemanasan global mengakibatkan perubahan iklim seperti yang dialami oleh dunia kini. Kesan utama termasuk peningkatan suhu dunia yang akan mengakibatkan pencairan glasier di kutub dan menyebabkan peningkatan paras air laut.

“Kesannya lagi, ia akan mengakibatkan kawasan rendah ditenggelami air. Berikutan itu, hasil kajian yang dilaporkan, kawasan-kawasan seperti Parit Buntar, Muar, Taiping dan lain-lain yang merupakan kawasan rendah dari aras laut antara bakal menerima kesan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, masalah perubahan iklim adalah isu global yang memerlukan dunia bersatu sebagaimana seperti penyatuan membanteras penipisan ozon melalui Protokol Kyoto pada tahun 1997.

Katanya, perubahan iklim juga hanya mampu ditangani dengan kesepakatan global dengan membuat perubahan ketara kepada dasar, peraturan, dan amalan perniagaan sedia ada.

Jelasnya, menyedari kesan-kesan negatif perubahan iklim kepada sejagat, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 2015 juga telah menganjurkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) sebagai sebahagian daripada agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

“SDGs ialah satu set 17 matlamat global yang ditubuhkan PBB sebagai usaha global untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh dunia, termasuk pencemaran udara dan perubahan iklim. Dua daripada matlamat ini, iaitu matlamat 13 (tindakan iklim) dan matlamat 11 (bandar dan komuniti lestari) yang tertumpu terutamanya pada soal menangani isu pencemaran udara dan perubahan iklim.

“Kebanyakan negara di seluruh dunia telah bersetuju dan bersama-sama berusaha ke arah menjayakan matlamat-matlamat SDGs. Walau bagaimanapun, untuk mencapai matlamat ini memerlukan kemahuan politik yang kuat dan tindakan daripada kerajaan dan pihak berkepentingan lain.

“Malangnya, kekurangan kemahuan politik dan tindakan kekal sebagai cabaran penting untuk mencapai SDGs ini. Satu cabaran utama ialah pemikiran jangka pendek dan membuat keputusan yang sering mendominasi politik,” katanya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... k-secara-konsisten/

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 09:14 PM GMT+8 , Processed in 0.138688 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list