CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 152|Reply: 0

[Kedah] Sungai Muda surut, buka rezeki kepada nelayan darat

[Copy link]
Post time 15-5-2023 04:16 PM | Show all posts |Read mode
Sungai Petani: Paras Sungai Muda yang surut mendadak semalam, membuka rezeki kepada 80 nelayan di Pengkalan Sepit Biru, Permatang Berangan, dekat sini, apabila dapat menangkap banyak ikan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pengkalan Sepit Biru, Mohd Nazri Yaacob, 43, berkata akibat air sungai yang surut mendadak, hidupan sungai termasuk ikan tidak cukup oksigen dan timbul di permukaan air sehingga memberi rezeki kepada mereka.

Katanya, antara spesis ikan yang timbul ketika paras sungai berada pada paras pinggang manusia adalah kaloi, lampam dan ikan patung.

"Melihat kejadian itu, saya segera ambil jala untuk menangkap ikan yang timbul di permukaan air dan hasilnya dapat dijual kepada penduduk kampung yang datang untuk membeli.

"Saya turut berkongsi video air sungai surut kepada rakan di kumpulan WhatsApp bertujuan memberitahu mereka keadaan sungai yang banyak ikan banyak.

"Tapi tak sangka video itu tular di media sosial sehingga kawasan ini bagaikan pesta dengan kehadiran orang ramai sehingga tengah malam tadi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Nazri berkata, dia yang turut mengusahakan perkhidmatan bot sewa Sungai Muda tidak dapat beroperasi sejak semalam, disebabkan air cetek dan kawasan itu dipenuhi lumpur.

Katanya, dia yang mempunyai tujuh bot yang diusahakan bersama rakannya terpaksa menghentikan perkhidmatan itu sehingga air sungai naik ke paras selamat.

"Tak penah lagi saya tengok kejadian air sungai ini surut sehingga ke tengah, walaupun sungai ini mempunyai kedalaman hampir 10 meter.


Paras air Sungai Muda yang turun mendadak. FOTO DANIAL SAAD

"Yang saya bimbang takut dengan kehadiran buaya tersesat kerana sungai ini luas dan bersambung ke laut," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati paras air Sungai Muda di kebanyakan kawasan mula dipenuhi air sejak pagi tadi, selepas simpanan air Empangan Beris dilepaskan pihak berkuasa.

Namun, kebanyakan nelayan masih menunggu sehingga air sungai naik ke paras normal untuk kembali melakukan aktiviti menangkap ikan dan udang di Sungai Muda.

Bagi penduduk Kampung Permatang Berangan, Shuib Ishak, 74, berkata, sepanjang hidupnya belum pernah dia melihat air surut sehingga menampakkan beting pasir di bahagian tengah sungai.

Katanya, sungai ini sangat luas dan jika cuaca panas sekali pun tidak pernah surut seperti itu.

"Selalunya ramai nelayan akan datang untuk menangkap ikan dan udang tetapi semalam, masing-masing hanya duduk di pelantar kerana tidak berani turun ke sungai.

"Saya sendiri pun tak berani takut terlekat kaki dalam lumpur selain bimbang ada buaya tersesat," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... layan-darat-metrotv

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-4-2024 09:09 PM GMT+8 , Processed in 0.196111 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list