CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 313|Reply: 3

Mampu hantar ke kampung RM2k sebulan

[Copy link]
Post time 15-5-2023 10:32 AM | Show all posts |Read mode
Mampu hantar ke kampung RM2k sebulan


MINHAJUDIN bekerja di sebuah restoran sejak lima tahun lalu untuk membantu keluarga di India serta mencari wang sebagai simpanan masa depan.


Tanjung Malim: Demi mencari rezeki, seorang pemuda dari Bangladesh, dikenali sebagai Mohd Rof, 26, terpaksa meninggalkan negara dan bertandang ke negara ini untuk bekerja sejak lapan tahun yang lalu.

Sejak zaman persekolahan lagi, dia yang juga anak bongsu daripada dua beradik memang bercita-cita ke Malaysia, malah terus ke negara ini selepas tamat belajar di sebuah kolej.

Mohd Rof mengakui minat timbul untuk ke Malaysia untuk bekerja selepas mendengar pengalaman daripada rakan sekampung bahawa di negara ini mempunyai banyak peluang pekerjaan yang mampu mengubah masa depan.

Katanya, walaupun usia terlalu muda untuk berhijrah ke negara ini namun dia gagahkan diri dan bertekad untuk bekerja bagi membantu keluarga yang tinggal di sebuah kampung dikenali Kampung Thanggai kira-kira 100 kilometer dari Bandaraya Dhaka.

"Ketika tiba di sini, saya memang tidak boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dan untuk menyesuaikan diri, saya mengambil masa kira-kira tiga bulan.

"Saya beruntung majikan seorang berbangsa Melayu yang banyak membantu saya belajar bertutur Bahasa Melayu di samping rakan-rakan saya turut membantu," katanya ketika ditemui ketika mengambil upah mengecat rumah penduduk, dekat sini.

Dia mempelajari teknik mengecat rumah daripada majikan dan rakan yang sebelum ini mengecat di kawasan perumahan.

Walaupun kerja terbabit agak rencam dan kadangkala perlu berpanas namun dia tetap cekal dan bersemangat bagi mencari rezeki demi kelangsungan hidup di negara ini dan keluarga yang berada jauh ribuan kilometer.

Bercerita lanjut, Mohd Rof mengakui memang mempunyai banyak peluang pekerjaan di negara sendiri, tetapi perlu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan berkenaan.

Katanya, dari segi upah pula terlalu rendah iaitu hanya kira-kira RM50 sehari jika dibandingkan di negara ini dia mampu memperoleh lebih RM150 sehari.

"Sejak bekerja di negara ini, setiap bulan lebih RM2,000 saya kirimkan kepada ibu bapa saya yang bekerja sebagai petani di kampung.

"Saya tidak perlu perbelanjaan banyak di Malaysia. Saya hanya membelanjakan untuk membayar rumah sewa, bil air dan elektrik serta makan sahaja," katanya.

Dia yang berhasrat tinggal di negara ini kira-kira tiga tahun lagi berkata, bagi memastikan dia mampu mendapat upah atau gaji sebanyak mungkin, dia sentiasa menjaga kualiti dan hasil kerja yang dilakukan saban hari.

"Apa kerja yang dilakukan terutama ketika mengecat rumah perlulah dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga mampu membuat pemilik rumah berpuas hati.

"Bila pemilik rumah berpuas hati, mereka mudah membayar upah seperti yang dijanjikan menyebabkan saya gembira dan rasa bertuah dapat mencari rezeki di negara ini," katanya.

Bagi menghilangkan rasa kesunyian dan kerinduan terhadap kampung halaman, dia bersama rakan-rakan akan mengunjungi ibu kota terutama pada cuti umum.

Mohd Rof berkata, wang yang dikirimkan kepada ibu bapa setiap bulan berkenaan, sebahagiannya akan disimpan untuk perbelanjaan perkahwinan yang dijangka pada tahun depan.

"Sebab itulah saya perlu bekerja keras mencari wang sebagai persediaan sebelum dan selepas berkahwin nanti yang sudah tentu memerlukan banyak perbelanjaan dalam mengharungi kehidupan.

"Selepas berkahwin, saya bercadang pulang ke negara asal untuk memulakan perniagaan di sana dengan menggunakan wang simpanan hasil titik peluh saya bekerja di negara ini," katanya.

Sepanjang dia tinggal di negara ini, dia berasa sungguh gembira melihat kebaikan rakyat di negara ini kerana walaupun berbilang bangsa dan berbeza agama namun mampu hidup dalam suasana yang sungguh harmoni.

Baginya, rakyat di negara ini sungguh bertuah kerana di samping mempunyai banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda, pihak kerajaan juga sentiasa prihatin terhadap keperluan dan kebajikan rakyat.

Dia berkata, pengalaman bekerja di negara ini akan menjadi nostalgia yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya terutama selepas kembali ke tanah air kelahirannya.

Sementara itu, Mohd Alamgir Husin, 28, juga dari Bangladesh turut mengunjungi negara Malaysia sejak lapan tahun lalu dan kini bekerja di kedai pemborong barang runcit.

Katanya, sejak tinggal di negara ini dia baru sahaja dapat menyimpan kira-kira RM5,000 sebagai bekalan bila pulang ke negara asal.

"Saya terima gaji RM1,800 sebulan dan kira-kira RM1,000 saya kirimkan kepada ibu bapa yang tinggal di salah sebuah kampung di Bangladesh.

"Bila saya mengunjungi negara ini, barulah saya memperoleh pendapatan dan dapat menyimpan wang untuk masa depan," katanya.

Mohd Alamgir berhasrat menyimpan wang sehingga RM20,000 sebelum pulang ke negara asal.

Katanya, wang simpanan itu boleh digunakan bagi memulakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi kelangsungan hidup.

Manakala, rakannya, Mohd Zahangir, 36, yang sudah menetap di negara ini selama 10 tahun pula berkata, sebelum pulang ke negara asal dia akan menyimpan wang terlebih dahulu untuk memulakan kehidupan baharu.

Katanya, di samping menyimpan wang, dia juga mengirimkan wang kira-kira RM900 sebulan kepada keluarga setiap bulan.

"Malaysia mempunyai banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan jika dibandingkan dengan negara sendiri.

"Di sini siapa rajin bekerja dan pandai mencari peluang maka lebih banyak wang boleh diperoleh sama ada untuk simpanan atau dihantar kepada keluarga," katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II, dekat Slim River.

Dia yang bekerja sebagai pencuci lori, berkata, dia juga menyimpan hasrat membuka perniagaan di kampung halaman bila pulang ke negara asal.

Katanya, dengan gaji dan kerja yang dilakukan, dia yakin dapat mencapai sasaran simpanan sebanyak RM20,000 sebelum pulang ke Bangladesh.

Di samping itu, pemuda dari Tamil Nadu, India, Minhajudin, 20, bekerja di restoran makanan sejak lima tahun lalu.

Katanya, kesukaran mencari pekerjaan di negara asal menyebabkan dia berhijrah ke negara ini.

"Wang gaji digunakan untuk keperluan saya di sini dan selebihnya disimpan dan dihantar kepada keluarga di kampung.

"Malaysia sebuah negara yang kaya dan mempunyai banyak peluang pekerjaan dan sepanjang bekerja di sini saya juga dapat mengenali cara hidup dan adat resam orang Malaysia yang berbilang kaum," katanya.


Sumber:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ampung-rm2k-sebulan

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 16-5-2023 09:55 AM | Show all posts
alamak, tgk gmbr kt atas, tingin lak nk mkn vadei. kt kpg, ada jual yg nipis, jd crispy je. sedap oi.
Reply

Use magic Report

Post time 3-7-2023 03:15 AM | Show all posts
seorang insan teguh dalam bekerja dan bisnes dengan  satu tujuan luhur yaitu memberikan keluarga kehidupan yang baik dan cukup, bagi saya ini semua sangat mengharukan
Reply

Use magic Report

Post time 3-7-2023 07:45 PM | Show all posts
hebat dan luar biasa abang ini, kerja diluar untuk menjaga dan menafkahi keluarga dikampung, semoga dilimpahi kesehatan dan banyak rezeki Bang
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

26-5-2024 05:41 PM GMT+8 , Processed in 0.060495 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list