|
Vokalis kumpulan Visa, Sham mengakui masih terkenang memori silam bersama anggota kumpulan lain ketika menempa nama di pentas seni industri muzik tanah air.
Pernah digilai ramai dan mencipta fenomena antara 1991 hingga 1997, Sham bersama ahli kumpulan Visa, Joe (gitar utama), Mazli (gitar kedua), Imm (bes), Kudin (dram) dan bekas ahli, Murad (gitar kedua) berjaya meninggalkan memori bermakna buat pendengar.
Biarpun ketika ini lebih banyak bergerak secara solo dengan menceburi pelbagai cabang seni, Sham atau nama sebenar, Rohisham Hashim mengakui, segala pahit manis bersama kumpulan berasal dari Terengganu itu kekal terpahat dalam kotak fikirannya.
Bagi Sham, apa yang berbeza adalah zaman, memandangkan sudah menempuh beberapa generasi dengan peringkat umur yang berbeza.
"Sudah tentu semasa bersama kumpulan Visa suatu ketika dahulu pelbagai pengalaman yang dirasai bersama seluruh anggota.
"Ada manis dan pahitnya, tetapi apa yang saya boleh katakan pengalaman manis lebih baik untuk dikenang. Cuma, ada beberapa perkara yang membezakan industri muzik dahulu dan kini.
"Kalau dahulu sesi rakaman atau apa-apa sahaja perkara teknikal semestinya dijalankan secara analog. Rasanya sangat berbeza dengan masa kini," katanya kepada BH Online.
Sham yang juga finalis program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV6) berkata, terlalu banyak kenangan indah dicipta bersama anggota kumpulan dan sememangnya menghadirkan rasa rindu.
"Sudah tentu rindu untuk kembali bersama sebagai satu kumpulan, memori dicipta juga terlalu banyak. Tetapi, hidup ini ibarat sungai mengalir, tidak akan menunggu dan terus bergerak.
"Jadi, apa yang boleh dikatakan ialah nikmati dan cipta pelbagai memori indah sebanyak mungkin," katanya.
Mengulas kenangan manis tidak boleh dilupakan, Sham berkata, mereka pernah menerima sambutan luar biasa peminat ketika membuat persembahan.
"Antara perkara paling saya ingat adalah kami ini ibarat 'superstar' dengan menerima sambutan begitu hangat peminat.
"Ketika selesai membuat persembahan atas pentas dan mahu menuju ke kenderaan untuk pulang, kami tidak boleh bergerak kerana dikerumuni peminat dalam jumlah yang begitu ramai.
"Selain itu, perkara paling manis bagi saya adalah kami dapat memuaskan hati semua peminat yang datang ke konsert. Kalau dapat meninggalkan memori kepada peminat memang perkara sangat bermakna bagi saya," katanya.
Ditanya hasrat membuat kemunculan semula bersama anggota Visa, Sham berkata, perkara itu akan direalisasikan sekiranya masing-masing mempunyai masa.
"Untuk buat kemunculan semula bergantung kepada waktu kerana masing-masing sudah ada komitmen berbeza. Jadi, kalau mahu meneruskan usaha, kami perlu mencari masa dan platform sesuai yang membolehkan semua anggota untuk ada bersama.
"Jika ada, saya boleh katakan akan ada sesuatu besar yang akan berlaku," katanya.
Dalam masa sama, Sham tidak menolak kemungkinan sekiranya Visa bakal tampil dalam konsert khas.
"Saya tidak tahu pada masa hadapan, tetapi kami akan cuba buat apa yang termampu. Kami juga bukan muda lagi, tetapi kalau ada orang yang masih sudi untuk lihat Visa membuat persembahan kami akan teruskan.
"Saya juga tidak menolak kalau ada jemputan untuk kumpulan Visa, lebih lagi kalau aktiviti mampu mendatangkan kebaikan kepada orang ramai," katanya.
Visa ditubuhkan pada 1991 oleh Sham, Joe, Imm dan Kudin yang bersekolah di Terengganu sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan langkah dalam industri muzik tempatan.
Sham merakamkan dan menerbitkan tiga album bersama Visa seperti Visa (1992), Dalam Gerimis (1994) dan Ilham (1995) di bawah syarikat rakaman, Happy Records.
Visa kemudiannya muncul dengan satu album kompilasi iaitu The Best Of Visa di bawah label EMI pada 1997.
Sumber: Harian Metro |
|