BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sudah menghantar laporan berhubung kes penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane, Australia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 3 Mei lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan, berkata laporan itu bagaimanapun belum terperinci memandangkan pihaknya masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut daripada Pasukan Sempadan Australia (ABF).
Beliau berkata, ABF juga memerlukan kebenaran daripada kementerian berkaitan di negara terbabit sebelum memberikan sebarang maklumat yang diminta.
"Mengikut maklumat awal kita terima, dadah itu dibawa dari negara 'golden triangle' (segi tiga emas) dan kita masih menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini.
"Bagaimanapun, kita percaya Malaysia hanya menjadi lokasi transit sebelum dadah itu dibawa ke Australia.
"Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes ini," katanya ketika mengulas perkembangan kes berkenaan hari ini.
Sebelum ini, kerajaan memberikan tempoh maksimum dua minggu kepada JKDM untuk mengemukakan laporan penuh kes penyeludupan dadah bernilai RM789.56 juta melalui Pelabuhan Klang ke Brisbane di Australia.
Perdana Menteri dilapor berkata, kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan, namun gagal.
Menurutnya, kerajaan memandang serius kejadian itu dan mengarahkan siasatan terperinci dilakukan agensi penguatkuasaan, termasuk memastikan perkara itu tidak berulang.
Terdahulu media melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lalu.
Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan berkata, ABF mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500 kilogram.