|
Nama Wafariena Roslan semakin melonjak, walaupun baru setahun jagung mencipta nama, dia sudah berdepan pelbagai dugaan termasuklah terbabit dalam kemalangan di lokasi penggambaran sehingga menyebabkan dia cedera teruk.
"Saya belajar dari pengalaman. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku.
"Saya sudah 'melawan' dan bersuara ketika itu, tetapi tak didengari. Selepas ini saya sedar bahawa saya perlu berjuang untuk diri sendiri," katanya kepada Harian Metro.
Foto: IG
Ditanya mengenai kemalangan di set penggambaran yang menimpa beberapa artis baru-baru ini, Wafa berkongsi mengenai sikap berhati-hati dan juga kemalangan yang tidak dapat dielakkan.
"Setiap kali melihat berita mengenai insiden dan kemalangan yang berlaku di set penggambaran, saya sendiri berfikir dan sedar bahawa kadang-kadang, kita sudah berhati-hati. Tapi, apabila sesuatu perkara itu memang ditakdirkan berlaku, ia akan berlaku.
"Contohnya, apa yang menimpa Kak Fasha (Fasha Sandha) dan adik Puteri (Puteri Rafasya), sama seperti yang menimpa saya. Kita sudah berhati-hati, tapi ia tetap berlaku."
Wafa juga turut berkongsi mengenai kronologi sebelum kemalangan membabitkannya berlaku.
"ihak produksi memang ada menyediakan pelakon lagak ngeri terutamanya untuk babak yang berat begini.
"Sebelum itu, ketika bermesyuarat, saya ada tanya sebab bila saya baca skrip, mereka maklumkan ada babak aksi. Tapi, ketika hari kejadian, hilang. Tak ada pelakon lagak ngeri.
"Jadi, untuk kerja-kerja lakonan di masa akan datang, saya akan sahkan sebetul-betulnya, sama ada pelakon lagak ngeri dan ciri keselamatan dititikberatkan. Kalau tak, apa gunanya kita buat perjanjian dan sebagainya?" katanya.
Bagaimanapun, Wafa tidak mahu terlalu meratap dengan rasa serik di atas apa yang berlaku kerana dia juga pernah menyuarakan pendapatnya.
"Kalau nak bercakap mengenai serik, ada juga timbul rasa serik. Tapi, seperti yang saya jelaskan, saya sudah 'melawan' pada ketika itu, namun tidak didengar.
"Saya tak boleh berkongsi banyak mengenai perkara itu kerana semuanya perlu melalui peguam yang dilantik. Saya tak boleh nak salahkan sesiapa, cumavsiapa yang bertanggungjawab, perlu bertanggungjawab," katanya.
Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya selepas kemalangan itu berlaku, Wafa berkata, dia terpaksa berdepan dengan masalah kesihatan dalaman.
"Selepas tiga bulan berdepan insiden itu, saya berdepan masalah dalaman. Contohnya, jadual haid saya tidak teratur dan itu juga turut disahkan oleh pihak hospital selepas menjalankan pemeriksaan," katanya.
Wafa juga turut menegaskan mengenai kepentingan insurans buat setiap individu termasuklah mereka yang bekerja sebagai pelakon.
"Apa yang boleh saya katakan, insurans sememangnya sangat penting. Bukan saja untuk mereka yang bergelar pelakon, tetapi juga untuk setiap individu.
"Walaupun tak ditimpa apa-apa kemalangan, tapi ia penting kerana kita tak tahu bila ia akan berlaku. Malang tidak berbau. Mujurlah sewaktu kejadian itu berlaku, saya sendiri ada insurans," katanya.
Terbaharu, Wafariena kini sedang menjalani penggambaran untuk drama bersiri 20 episod berjudul Janji di Bawah Pokok Ceri untuk tayangan RTM dan seterusnya, drama bersiri 30 episod berjudul Dia Dari Syurga.
"Sekarang, saya sedang menjalani penggambaran drama Janji Di Bawah Pokok Ceri. Selain saya, ia turut dibintangi Sharul Kamal, Firdaus Ghufran, Wanie Ooi, Marissa Yasmin, Rusdi Ramli dan ramai lagi.
"enggambarannya bermula sejak Mac lalu dan akan selesai pada awal Jun. Tapi, dalam bulan ini, saya akan memulakan penggambaran drama 30 episod berjudul Dia Dari Syurga.
"Selain itu, drama lakonan saya yang sedang ditayangkan di TV Okey berjudul Alamak Lagi-lagi Dia arahan Amor Rizan," katanya.
Sebelum ini, Wafa mengalami kecederaan dalaman iaitu tisu di bahagian punggung, koyak di bahagian perut dan berlaku pendarahan selepas melakukan babak aksi lagak ngeri untuk supertelefilem yang dilakonkannya itu. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|