CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 219|Reply: 0

Dulu asnaf kini tauke

[Copy link]
Post time 26-4-2023 11:59 AM | Show all posts |Read mode
Dulu asnaf kini tauke


NOR Zihan tidak kekok melakukan kerja yang biasanya dilakukan lelaki.

Dalam menjalani kehidupan ini, setiap individu tidak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai ujian yang berbeza termasuk kemiskinan, kurang upaya, masalah kesihatan, kesenangan dan sebagainya.

Bagi dua wanita ini, sebelum mengecapi kejayaan, mereka diuji dengan pelbagai kesusahan hidup apabila suami masing -masing jatuh sakit sehingga hilang punca pendapatan keluarga.

Biarpun terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun Fatimah Umar, 44, dan Nor Zihan Aminah Ahmad, 35, tidak pernah menyerah kalah dan berputus asa.

Menerusi bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Fatimah dan Nor Zihan Aminah berjaya keluar dari kelompok asnaf dengan menjadi usahawan berjaya.

Berkongsi kisah hidupnya Fatimah berkata, beliau tergolong dalam kategori asnaf selepas suaminya jatuh sakit akibat kencing manis dan hilang upaya untuk bekerja.

"Untuk menyara keluarga, saya bekerja sebagai jurujual untuk menanggung lima anak dan kos rawatan suami berjumlah RM1,000 setiap bulan.

"Gaji saya seorang tidak cukup untuk melunaskan komitmen setiap bulan sehingga saya terpaksa memohon bantuan LZS dan akhirnya tergolong dalam kategori asnaf," katanya.

Beliau menerima pelbagai bantuan LFZ selama lima tahun sejak 2017 termasuk bantuan kewangan bulanan dan barangan dapur.


NOR Zihan bersama lori miliknya.

Biarpun begitu, wanita yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan ini menyedari tidak boleh mengharapkan bantuan daripada LZS selama-lamanya.

Beliau meneruskan langkah untuk menceburi bidang perniagaan dan mengambil bahagian dalam Program Pembangunan Ekonomi anjuran LZS supaya dapat mengubah nasib keluarga.

"Dalam program ini, saya berpeluang menyertai beberapa kursus seperti bantuan modal, perakaunan dan yang paling menarik, belajar menghasilkan video.

"Pada tahun 2019, saya mula menjalankan perniagaan mencuci rumah bermula dengan rumah jiran dan kawan-kawan kemudian saya menyedari bahawa perkhidmatan ini mendapat permintaan yang sangat tinggi," katanya.



FATIMAH bersama suaminya.


Tambahnya, beberapa tahun kemudian, atas kesedaran dir sendiri, beliau membuat keputusan untuk keluar daripada asnaf untuk memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.

"Saya sendiri mula membayar zakat pada awal tahun ini dan sebagai Muzakki, saya ingin terus membayar zakat untuk membantu golongan asnaf yang lain supaya mereka juga dapat keluar dari kelompok itu," katanya.

Sementara itu, bagi Nor Zihan, kemalangan jalan raya menyebabkan suaminya lumpuh tangan kanan sehingga keluarganya hilang punca pendapatan.

"Saya tergolong dalam kategori asnaf ketika itu kerana tidak mampu membayar sewa rumah dan terpaksa memohon bantuan LZS.


NOR Zihan menerima Anugerah Usahawan Berjaya dari LZS.


"Malah saya tururt menerima bantuan dari LZS selama empat tahun bermula 2016 hingga 2020. LZS membantu saya membayar sewa rumah bulanan sebanyak RM 450 sebulan, bantuan modal perniagaan sebanyak RM 3,500 dan bantuan awal persekolahan berbentuk yuran dan juga pakaian seragam sekolah," katanya.

Katanya, dia turut menyertai Program Pembangunan Ekonomi yang menyediakan pelbagai latihan berkaitan keusahawanan.

"Dengan ilmu dan modal yang diberi, saya menjalankan perniagaan membeli barangan kitar semula dan besi buruk. Saya turut menyediakan perkhidmatan mengutip besi buruk dari rumah ke rumah.

"Saya bersyukur menerusi perniagaan ini, saya dapat mengubah hidup dengan mampu membeli tanah untuk membangunkan rumah sendiri dan membeli lori.


PERNIAGAAN perkhidmatan membersihkan kediaman membawa Fatimah keluar daripada kepompong kemiskinan.


"Lebih mengharukan, saya berjaya keluar daripada kelompok asnaf pada Januari 2021," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sebagai sebuah institusi zakat terkemuka di Malaysia, peranan mereka tidak terhad kepada sekadar mengumpul dan mengagihkan zakat kepada golongan yang memerlukan.

"Kami percaya bahawa kunci untuk meningkatkan kehidupan asnaf adalah dengan menyediakan bantuan yang dapat memberi nilai jangka masa panjang.

"Oleh itu, untuk memastikan keperluan asnaf ditangani secara efektif dan cekap, kami juga memberi tumpuan pada usaha mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan keadaan sosioekonomi termasuk melalui Program Pembangunan Ekonomi," katanya.


PERNIAGAAN besi buruk dan barangan kitar semula membantu Nor Zihan menyara keluarga.


Jelasnya, dari tahun 2013 hingga 2022, Program Pembangunan Ekonomi berjaya melahirkan sebanyak 1,228 usahawan yang berjaya.

"Kami gembira, program ini mengubah kehidupan asnaf untuk mereka menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.


https://www.hmetro.com.my/WM/2023/04/959886/dulu-asnaf-kini-tauke

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-5-2024 09:30 AM GMT+8 , Processed in 0.054179 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list