Tiada tindakan lanjut diambil dalam kes kecurian telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro Max di sebuah kedai di Wangsa Maju susulan suspek memulangkan barang curi kepada mangsa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada Rabu menerima satu laporan berhubung perkara itu.
Rakaman video tular mengenai kes kecurian telefon bimbit iPhone di sebuah kedai di Wangsa Maju.
Dalam kejadian terbabit katanya, mangsa yang bekerja di kedai berkenaan didatangi seorang lelaki berpakaian serba hitam untuk melihat iPhone berwarna perak tersebut yang kemudian bersetuju membeli telefon bimbit itu.
"Mangsa meminta supaya suspek menulis butiran di atas resit pembayaran, namun secara tiba-tiba suspek telah bertindak mengambil telefon bimbit tersebut yang berada di atas meja lalu melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa telah menarik semula aduan yang dilaporkan pada Khamis kerana telefon bimbit tersebut telah dikembalikan oleh orang awam.
"engadu telah menyelesaikan kes ini secara baik bersama suspek tersebut. Kes telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya.
Terdahulu, tular sebuah video dimuat naik pemilik akaun Twitter yang memaparkan kejadian kecurian tersebut.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 39 saat merakamkan dengan jelas perbuatan suspek.
Sumber: Sinar Harian |