|
Seorang wanita maut dirempuh motosikal selepas menyelamatkan cucunya daripada dilanggar ketika melintas jalan raya di Jalan UMS berhampiran Kampung Rampayan, Manggatal, Kota Kinabalu, pagi tadi.
Dalam kejadian 8.45 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penunggang motosikal berusia 46 tahun yang cedera di kepala turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sementara itu, cucu perempuan wanita terbabit berusia sembilan tahun dan pembonceng wanita berusia 47 tahun hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati penunggang motosikal bersama teman wanitanya bergerak dari arah Indah Permai menuju ke 1Borneo.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang wanita tiba-tiba melintas jalan bersama cucunya.
"enunggang motosikal gagal mengelak dan terus merempuh wanita terbabit sebelum terbabas ke bahu jalan.
"Kanak-kanak perempuan hanya mengalami kecederaan ringan selepas sempat ditolak oleh neneknya bagi mengelakkan daripada dilanggar motosikal," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pembonceng motosikal mengalami kecederaan ringan di muka dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: HARIAN METRO |
|