|
Bersyukur dengan dugaan diberikan kerana dapat kembali ke jalan Allah selepas sekian lama terleka, Ibnor Riza merasakan terlalu banyak hikmah diperoleh sejak diduga penyakit kanser limfoma tahap empat.
"Mungkin Allah duga saya dengan penyakit untuk menjentik hati saya. Walaupun bersekolah agama, saya sering terleka.
"Jadi, masa yang ada digunakan untuk memperbaiki semula ibadah seperti menggantikan solat ditinggalkan dan menghafal beberapa surah penting seperti al-Mulk dan al-Kahfi," katanya yang ditemui pada majlis buka puasa bersama Persatuan Melodi Kenangan Artis Dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) di bawah kendalian pelakon Amran Nasaruddin.
BH Online
Hikmah lain yang dilihat selain dapat mendekatkan diri dengan Allah adalah merapatkan hubungan kekeluargaan.
Ibnor berkata, dia bersyukur kedua-dua isteri berebut mahu menjaganya.
"Mereka berdua terlalu baik, saya rasa tidak layak mendapat wanita sebaik mereka.
"Kedua-dua isteri saling berebut hendak menjaga saya. Isteri pertama sanggup berulang-alik dari Brunei demi menjaga saya.
"Hubungan kedua-dua isteri sangat baik dan mesra. Saya berkahwin dengan isteri kedua, Sarimah Sulaiman kira-kira 14 tahun lalu.
"Mereka langsung tidak pernah bermasam muka," katanya.
Baru menjalani dua kali sesi kemoterapi, jauh di sudut hati bapa kepada dua cahaya mata itu tetap mengharapkan Allah memberikan peluang kedua untuknya sembuh.
Ini kerana, katanya, anak bongsunya baru berusia 14 tahun, manakala isteri kedua, Sarimah Sulaiman pula tidak bekerja.
Justeru, katanya, dia risau memikirkan perbelanjaan persekolahan dan komitmen bulanan yang perlu diselesaikan.
Namun, katanya, dia berterima kasih kepada anak tirinya kerana mengambil tanggungjawab membayar ansuran rumah walaupun bergaji kecil, setiap bulan.
"Saya menggunakan nama anak tiri untuk memohon pinjaman bank bagi pembelian rumah dan berjanji membayar ansuran bulanan.
"Namun, tiba-tiba saya jatuh sakit dan tidak boleh bekerja. Anak tiri menawar diri untuk membayar ansuran rumah, setiap bulan.
"Saya kata tidak mengapa kerana saya akan cuba berusaha, tetapi dia tetap membayarnya dan mahu saya berehat.
"Bukan apa, saya sebenarnya kasihan kepadanya kerana bergaji kecil. Saya memeliharanya sejak kecil, jadi mungkin mahu membalas jasa.
"Bagi saya, anak tiri terlalu baik," katanya lagi.
Sumber: BH Online |
|