ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) menasihatkan orang ramai menggunakan air secara berhemah sepanjang musim perayaan selain melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan mencukupi sebagai persediaan berdepan situasi luar jangka.
Syarikat operator air negeri itu berkata pihaknya sentiasa komited dan prihatin dalam usaha membekalkan bekalan air terawat yang berterusan kepada pengguna.
Katanya, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 peratus di negeri ini disebabkan antara lain anak perantau kembali ke kampung halaman dan kemarau yang dijangka berlarutan di beberapa kawasan sehingga penghujung bulan ini.
"Oleh kerana itu, SADA akan melaksanakan pelan kontingensi selama lima hari bermula 20hingga 24 April ini sebagai persediaan awal berdepan kemungkinan gangguan bekalan air di seluruh daerah di negeri ini sempena cuti Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan SADA itu turut menyatakan dari sudut operasi, pihaknya turut meningkatkan pemantauan bersepadu di semua 35 Loji Rawatan Air (LRA), rumah pam dan kolam imbangan dalam usaha memaksimumkan peratusan pengeluaran air, aset dan infrastruktur air beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Katanya, kakitangan syarikat berkenaan terutama yang bekerja di bidang teknikal akan bertugas dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
"Sebarang kerja penyelenggaraan secara berjadual termasuk pembaikan paip dan penukaran meter turut ditangguh buat sementara waktu.
"Sekiranya berlaku gangguan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi Pusat Informasi SADA (SIC) melalui talian 1300-88-0017 yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," katanya.
SADA berkata Pusat Khidmat Setempat (PKS) akan diwujudkan di lima lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi mengalami masalah gangguan bekalan air.
Katanya, PKS berkenaan akan dilaksana melalui jalinan kerjasama dan pembabitan secara langsung kakitangan SADA, pemimpin setempat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Pengoperasian PKS akan bermula pada 21hingga 23 April mulai jam 8 pagi hingga 5 petang. Sebuah lori tangki dan tangki statik akan ditempatkan di setiap lokasi PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat dengan kadar yang segera.
"Orang ramai yang menghadapi masalah gangguan bekalan air boleh menyalurkan aduan atau permasalahan secara terus di kaunter PKS tanpa perlu menghubungi talian hotline atau talian Bilik Gerakan," katanya.