CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 166|Reply: 0

[Perlis] Jentera UMNO Perlis sedia bantu UMNO Kedah hadapi PRN

[Copy link]
Post time 16-4-2023 11:10 AM | Show all posts |Read mode
Jentera UMNO Perlis sedia bantu UMNO Kedah hadapi PRN


Oleh Aizat Sharif - April 16, 2023 @ 11:01am bhnews@bh.com.my




Rozabil (kiri) bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Arau yang juga bekas calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar menyantuni dan beramah mesra petugas media dari Perlis dan Kedah semasa Majlis Moreh bersama Media di sebuah kafe di Batas Liku, Arau. - Foto AIZAT SHARIF




ARAU: Jentera UMNO Perlis sedang disiapkan bagi membantu rakan seperjuangan di Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, pihaknya sudah diarahkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pelaksanaan gerak kerja itu akan kita bahagikan apabila sampai waktunya nanti.

"Kita juga sedang meneliti sama ada gerak kerja bantuan ini akan diperluaskan ke seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah atau kita akan bahagikan gerak kerja ini bersama dengan negeri lain tetapi besar kemungkinan kita akan diletakkan di negeri Kedah pada PRN akan datang ini," katanya selepas menghadiri Majlis Moreh bersama Media di sebuah kafe di Batas Liku, di sini, semalam.

Untuk rekod, Perlis sudah pun menjalankan PRN seiring dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November tahun lalu dengan menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan dan sekaligus menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sudah menerajui negeri itu selama 65 tahun.

Rozabil juga berkata, UMNO Perlis tekad dan komited untuk melenyapkan sentimen '30 Bahagian UMNO' yang kerap menjadi igauan kepada ahli parti berkenaan sebelum ini berikutan keadaan parti itu yang berpecah belah antara tiga bahagian, Kangar, Arau dan Padang Besar ketika pentadbiran terdahulu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'Tok Ben' dalam kalangan rakan politik berkata, kekalahan teruk BN dalam semua 15 kerusi yang dipertandingkan di negeri itu pada PRU15 lalu adalah disebabkan tiada perpaduan dalam kalangan UMNO di ketiga-tiga bahagian itu di Perlis pada PRU lalu.

"Dalam mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis juga ketiga-tiga bahagian bersetuju tidak mahu wujud persaingan antara satu sama lain.

"Malah, kita bersetuju menjalinkan kerjasama erat yang saya percaya kerjasama ini dapat kita jalankan kerana bukan setakat ketiga-tiga (ketua UMNO bahagian) sudah melafazkan taat setia untuk bekerjasama tetapi saya pernah bekerja dengan kedua-dua rakan saya dari Kangar dan Padang Besar sewaktu jadi Ketua Pemuda UMNO Perlis dahulu.

"Oleh itu, apabila kita bercakap pasal soal perpaduan, untuk Penggal 2023-2026, kita mempunyai keyakinan tinggi untuk bekerjasama dan kita akan bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan kita mampu merampas Perlis semula. Itu janji kami daripada ketiga-tiga bahagian dan AJK dalam perhubungan UMNO Perlis," katanya.

Gelaran '30 UMNO Bahagian' itu merujuk kepada sindiran masyarakat terhadap tiga UMNO bahagian iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar yang sukar untuk bekerjasama sesama mereka ketika pentadbiran parti dahulu disebabkan berlaku krisis dalaman kepimpinan antara bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dengan bekas Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Selain itu, Rozabil juga berkat, perlantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Perlis tidak lagi akan dibuat dengan hanya melihat kapasiti seseorang yang memegang jawatan sebagai Ketua UMNO cawangan di sesuatu kampung sahaja seperti yang diamalkan pada pentadbiran lalu.

"Kita sudah mengarahkan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mula mengenal pasti calon Pengerusi JPKKP yang dijangka dilantik selepas Aidilfitri ini.

"Perlantikan kali ini akan lebih membabitkan dalam kalangan Pemuda dan Wanita UMNO atau pun mereka yang berada dalam kalangan Ketua Masyarakat yang dihormati dalam kampung berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan itu adalah perlu dalam melakukan perlantikan yang telus bagi memastikan calon yang dilantik itu benar layak serta mampu menjalankan tugas sebagai Pengerusi JPKKP di sesuatu kampung itu.

"Malah, saya juga tidak menolak bahawa perlantikan kali ini juga ada membabitkan parti lain dalam semangat Kerajaan Perpaduan hari ini dan kemungkinan itu ada terutama di kawasan yang kita rasakan parti lain lebih dominan.

"Kita belum membincangkan perkara ini secara 'terperinci' atau menyeluruh namun daripada perbincangan saya dengan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Noor Amin Ahmad dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim, saya rasa akan ada sikit (kuota) kepada parti lain juga," katanya.

Rozabil berkata, nama calon Pengerusi JPKKP itu akan dihantar ke peringkat pusat selepas Aidilfitri ini.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

13-5-2024 07:30 AM GMT+8 , Processed in 0.408920 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list